Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gabenor: Bank Eropah amat kukuh

    PARIS, 17 MAC – Bank-bank Eropah berada dalam keadaan ‘amat kukuh’ dan situasinya tidak sama dengan beberapa bank Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Bank Pusat Perancis hari ini di tengah kebimbangan krisis dalam sektor perbankan.

    Kemuflisan dua bank AS telah menimbulkan kebimbangan penyebaran ke sektor lain, dengan syarikat perbankan Eropah, Credit Suisse terpaksa meminjam AS$54 bilion daripada bank pusat Swiss.

    “Bank Perancis dan Eropah adalah amat kukuh,” beritahu Francois Villeroy de Galhou, yang juga anggota majlis gabenor Bank Pusat Eropah, kepada televisyen BFM Business.

    “Bank Eropah tidak mengalami situasi yang sama dengan sesetengah bank AS disebabkan ia tidak tertakluk kepada peraturan yang sama,” katanya.

    Peraturan dikenali sebagai Basel III yang diperkenalkan selepas krisis kewangan 2008 untuk memastikan bank mempunyai modal dan kecairan telah menjadi ‘efektif’, kata Villeroy de Galhau.

    Beliau berkata 400 kumpulan perbankan Eropah adalah tertakluk kepada syarat-syarat Basel III berbanding dengan 13 di AS.

    Di bawah pentadbiran Donald Trump pada 2019, bank saiz kecil dan sederhana dikecualikan daripada peraturan Basel, katanya, termasuk Bank Silicon Velley dan Bank Signature, yang muflis minggu lalu.

    ECB berkata semalam ia bersedia untuk menyediakan kecairan untuk memastikan kestabilan sistem kewangan zon euro. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda