Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gabenor California mahu sekat penggunaan telefon pintar di sekolah

    SACRAMENTO, 19 JUN – Gabenor California, Gavin Newsom mengumumkan kelmarin bahawa beliau mahu menyekat penggunaan telefon pintar pelajar semasa hari persekolahan, memetik risiko kesihatan mental media sosial.

    Pengumuman itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Politico, dibuat sehari selepas Pakar

    Bedah Amerika Syarikat (AS), Vivek Murthy, menggesa Kongres untuk mewajibkan label amaran di platform media sosial dan kesannya terhadap golongan muda.

    Newsom berkata dia merancang untuk menggunakan undang-undang yang ditandatanganinya pada 2019 yang membenarkan daerah sekolah mengehadkan atau mengharamkan penggunaan telefon pintar oleh pelajar semasa di sekolah atau di bawah penyeliaan pekerja sekolah.

    “Seperti yang ditegaskan oleh Pakar Bedah, media sosial merosakkan kesihatan mental belia kita,” kata gabenor Demokrat dalam satu kenyataan.

    “Saya berharap dapat bekerjasama dengan badan perundangan untuk menyekat penggunaan telefon pintar semasa hari persekolahan. Apabila kanak-kanak dan remaja berada di sekolah, mereka harus fokus pada pelajaran mereka, bukannya skrin mereka”.

    Pejabat Newsom tidak memberikan butiran lanjut mengenai cadangan itu. Namun Persatuan Lembaga Sekolah California berkata, sebarang peraturan mengenai penggunaan telefon pintar pelajar harus diserahkan kepada daerah sekolah, bukan negeri.

    “Kami menyokong perundangan yang memberi kuasa kepada pemimpin sekolah untuk membuat keputusan dasar di peringkat tempatan yang mencerminkan kebimbangan komuniti mereka dan perkara yang perlu dilakukan untuk menyokong pelajar mereka,” kata jurucakap Troy Flint.

    Pengumuman Newsom dibuat semasa perdebatan yang semakin meningkat di seluruh negara mengenai cara-cara menangani kesan media sosial dan penggunaan telefon pintar, terutamanya golongan muda. Sesetengah remaja telah berjanji untuk menjauhkan diri daripada media sosial untuk meningkatkan kesihatan mental mereka dan membantu mereka menumpukan perhatian terhadap kerja sekolah dan aktiviti kokurikulum. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda