ISTANBUL, 3 MAC – Gabenor Henry McMaster mengisytiharkan darurat kelmarin susulan kebakaran hutan di negeri South Carolina, Amerika Syarikat (AS).
Pasukan bomba sedang giat berusaha mengawal kebakaran, lapor agensi Anadolu memetik NBC News.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan langit bertukar jingga apabila kebakaran melanda hutan Carolina di kawasan Myrtle Beach.
McMaster berkata lebih 175 kebakaran sedang berlaku di beberapa daerah termasuk Horry, Spartanburg, Union, Oconee dan Pickens, melibatkan kawasan seluas 4,200 ekar.
“Perisytiharan darurat memastikan pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi masyarakat daripada kebakaran ini mendapat sumber yang diperlukan.
“Situasi kebakaran memerlukan larangan pembakaran di seluruh negeri terus dikuat kuasa sehingga diberitahu kelak. Mereka yang melanggar larangan ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya Perhutanan South Carolina memaklumkan bahawa daerah Horry menerima bantuan daripada rakan kerjasama negeri, termasuk pesawat yang digunakan untuk memadamkan kebakaran.
Seramai 410 anggota penyelamat serta sekurang-kurangnya 128 aset dikerahkan dalam operasi ini.
Pemindahan turut dilaksanakan dengan kira-kira 135 penduduk berlindung di Pusat Rekreasi Carolina Forest di Horry County, menurut Palang Merah South Carolina. – Bernama
