LIBREVILLE, 30 OGOS – Pegawai pemberontak di negara Afrika tengah yang kaya dengan minyak, Gabon mengumumkan hari ini bahawa mereka telah merampas kuasa berikutan pilihan raya yang dipertikaikan di mana Presiden Ali Bongo Ondimba, yang berkuasa sejak 2009, telah diisytiharkan sebagai pemenang.
Bongo, 64, yang keluarganya telah memerintah Gabon selama lebih 55 tahun, diletakkan di bawah tahanan rumah dan salah seorang anak lelakinya ditahan kerana khianat, kata pemimpin rampasan kuasa.
Dalam ucapan dramatik sebelum subuh, sekumpulan pegawai mengisytiharkan semua institusi republik itu telah dibubarkan, keputusan pilihan raya dibatalkan dan sempadan ditutup.
“Hari ini, negara sedang melalui krisis institusi, politik, ekonomi dan sosial yang serius,” menurut kenyataan yang dibacakan di TV kerajaan.
Ia dibacakan oleh seorang pegawai yang diapit oleh sekumpulan kolonel tentera, anggota elit Pengawal Republikan, askar biasa dan lain-lain.

Pilihan raya itu “tidak memenuhi syarat untuk undi yang telus, boleh dipercayai dan inklusif yang sangat diharapkan oleh rakyat Gabon,” menurut kenyataan itu.
“Memburukkan lagi keadaan adalah pentadbiran yang tidak bertanggungjawab dan tidak dapat diramalkan, yang mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam perpaduan sosial, berisiko menjerumus negara dalam pergolakan.
“Kami, Jawatankuasa Peralihan dan Pemulihan Institusi (CTRI) bagi pihak rakyat Gabon dan sebagai penjamin perlindungan institusi telah memutuskan untuk mempertahankan keamanan dengan menamatkan rejim semasa,” tambahnya. – AFP