MANCHESTER, 6 Feb – Gabriel Jesus telah menjaringkan dua gol termasuk gol kemenangan di masa kecederaan ketika Manchester City kendalian Pep Guardiola merekodkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas pasukan bergelut, Swansea Citi di Stadium Etihad semalam.
Pasukan tuan rumah dilihat menguasai perlawanan sepenuhnya dalam separuh masa pertama, hanya mendapati gawang mereka dibolosi di minit ke-81 menerusi jaringan penyamaan Gylfi Sigurdsson.
Pemain antarabangsa Iceland itu mengambil kesempatan atas pertahanan lemah, menerima hantaran Luciano Narsingh, menggerakkan bola ke kaki kirinya dan menjaringkan gol dengan rembatan rendah dari luar petak.
Tetapi jauh di dalam masa kecederaan, hantaran lintang David Silva dari sebelah kanan menjumpai Jesus dan percubaan pertamanya melalui tandukan diselamatkan oleh Lukasz Fabianski, namun pemain berusia 19 tahun itu menendang masuk lantunan bola hasil tampanan Fabianski ke gawang terbuka.
“Gabriel Jesus sangat kuat, pantas dan mempunyai gerakan yang baik,” kata pengurus City, Guardiola.
“Dia tiba dengan begitu bagus. Kami gembira untuknya.
“Kerap kali musim ini kami dibolosi di saat-saat akhir. Ini adalah kali pertama kami menang di saat-saat akhir.”
Jesus, tiba pada bulan Januari dari Palmeiras, hanya memerlukan 11 minit daripada permulaan pertamanya untuk menjaringkan gol pertama City, di mana para penyokong City berharap ia permulaan bagi gol-gol yang banyak di masa akan datang.
Gol itu tercipta hasil pergerakan menarik Silva, yang menewaskan pemain pertahanan federico Fernandez di tepi garisan sebelum membuat hantaran rendah kepada Raheem Sterling.
Martin Olsson berjaya menghalang penyerang England itu di dalam jarak enam ela, tetapi Jesus bertindak sepantas kilat, merembat bola terlepas itu dengan voli jarak dekat bagi gol pembukaan. – AFP