LONDON, 19 DIS – Mikel Arteta menyatakan Gabriel Jesus telah ‘kembali mencatat prestasi terbaiknya’ selepas penyerang Brazil itu membawa Arsenal ke separuh akhir Piala Liga dengan hatrik dalam kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace semalam.
Pasukan Arteta dikejutkan awal dalam perlawanan suku akhir di Stadium Emirates apabila Jean-Philippe Mateta meletakkan Palace di hadapan. Namun, Gabriel Jesus memastikan pasukan Gunners kekal bertahan untuk memenangi Piala Liga buat kali pertama sejak 1993 apabila penyerang itu mencatatkan tiga gol klinikal dalam tempoh 27 minit pada separuh masa kedua.
Gabriel memulakan perlawanan dengan hanya dua gol pada tahun 2024 dan satu gol dalam 20 penampilan sebelumnya musim ini, mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin akan dijual apabila jendela perpindahan dibuka pada 1 Januari.
“Saya memakai jersi nombor sembilan untuk Arsenal, jadi saya perlu menjaringkan gol, begitu juga Kai Havertz. Kami adalah penyerang pasukan dan mempunyai tekanan untuk menjaringkan gol,” Jesus mengakui selepas meledak hatrik.
“Jika kami mahu bersaing untuk kedudukan, kami perlu terus menjaringkan gol. Ia bukan mudah, jika mudah, pasti ramai penyerang hebat di dunia, tetapi kami terus mencuba.”
Arteta secara terbuka memberi sokongan kepada Jesus dan bekas penyerang Manchester City itu membalas kepercayaan pengurusnya dengan persembahan yang tajam yang boleh memberi nafas baharu kepada kerjayanya sendiri, dan juga kempen Arsenal.
“Saya sangat gembira untuknya. Ia telah menjadi satu tempoh yang panjang tanpa gol dan hari ini, untuk menjaringkan tiga gol, tiga jenis gol yang diciptanya selain pelbagai aksi yang dipamerkan Gabriel nampak amat tajam,” kata Arteta.
“Ia satu perkara yang hebat untuknya dan juga pasukan di mana kami boleh bergantung kepada pemain dengan kualiti sebegitu. Gabi pada tahap itu adalah aset besar untuk kami.
“Hebat untuk pasukan yang menyaksikan Gabi telah kembali mencatat prestasi cemerlang. Kini ia adalah mengenai konsistensi.
“Detik ini akan memberikan begitu banyak keyakinan kepadanya. Sekarang kami perlu memanfaatkannya dan memberikan lebih banyak perlawanan serta peluang kepadanya. – AFP