ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
KONSEP muzikal drama dalam siri televisyen atau filem sering berjaya mendapat perhatian para penonton sebagaimana yang pernah ditonjolkan dalam siri drama Glee, Star, Empire dan beberapa buah filem seperti The Greatest Showman, Beauty and the Beast, Moana serta Frozen.
Kini, Jason Katims telah berusaha untuk mengadaptasi kisah yang ditonjolkan dalam buku Drama High karya Michael Sokolove dalam sebuah drama muzikal, Rise.
Antara barisan pelakon yang membintangi siri drama ini adalah Josh Radnor, Rosie Perez, joe Tippett, Marley Shelton, Auli Cravalho, Damon J. Gillespie dan ramai lagi.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai Lou Mazzuchelli yang baru berkhidmat sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Tinggi Stanton.
Selain memiliki kemahiran dalam mengajarkan subjek tersebut, guru itu juga memiliki bakat dalam bidang seni merangkumi lakonan dan nyanyian.

Sebelum ini, kelab drama di sekolah tersebut dipimpin oleh seorang guru wanita yang sangat berbakat bernama Tracey Wolfe lakonan Rosie Perez.
Pengetua sekolah tinggi yang menyedari akan bakat dimiliki oleh Lou telah berhasrat untuk melantiknya selaku ketua kelab seni tersebut.
Perlantikan baharu itu dilakukan dengan harapan untuk mendapatkan idea baharu bagi meningkatkan lagi prestasi namun secara tidak langsung turut mengguris hati ketua lamanya, Tracey.
Dari situ, Lou telah mula mengumpulkan bakat-bakat muda terdiri daripada pelajar di sekolah tersebut untuk dibimbing sekali gus menampilkan persembahan yang sangat menarik.
Walaupun Tracey telah digantikan oleh Lou namun dia tetap turut menyumbangkan ideanya dalam memastikan kelab seni itu berjaya menonjolkan prestasi yang cemerlang.
Namun tidak semua yang dirancang itu berakhir dengan keindahan apabila Tracey dan Lou saling berselisih pendapat sehingga ada kalanya turut menimbulkan perbalahan di antara mereka berdua.
Lalu, apakah kesudahan kisah drama muzikal yang sangat menarik ini dan adakah prestasi cemerlang yang diharapkan berjaya dicapai. Untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Rise sehingga ke penghujungnya.