Oleh Zulkamal Haji Kamis
Setiap kali kita berada di luar negara sebagai contoh di Kuala Lumpur, kita pasti akan tertanya-tanya di manakah lokasi yang ideal untuk kita menjamu selera, adakah di ‘foodcourt’ gedung-gedung perniagaan atau restoran-restoran ternama di bandar raya tersebut. Jawapannya terserah kepada anda untuk memilihnya.
Kita sudah sedia maklum bahawa Malaysia memang terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian masakannya yang begitu menyelerakan. Justeru, persoalan sukar untuk menemui makanan yang hebat di Kuala Lumpur memang sesuatu yang jarang untuk kita dengar.
Walaupun terdapat sedikit persamaan daripada segi makanan dengan Negara Brunei Darussalam namun tidak dapat dinafikan bahawa keunikan makanan di Malaysia memang sesuatu yang hanya akan dapat dinikmati di negara tersebut.
Namun itulah realitinya, setiap negara akan mempunyai keunikannya tersendiri, seperti Malaysia terkenal dengan nasi lemaknya, Indonesia terkenal dengan ayam penyetnya dan Brunei Darussalam pula terkenal dengan ambuyatnya serta banyak lagi.
Oleh itu, setiap kali anda berada di luar negara, carilah peluang untuk menikmati hidangan ikonik di setiap negara dan merasakan sendiri kenikmatan variasi hidangan yang pelbagai. Baru-baru ini, penulis telah berkunjung ke Kuala Lumpur, Malaysia dan berpeluang untuk berkunjung ke sebuah gerai berseberangan dengan Pasaraya Aeon, Ampang.



Bak kata pantun daripada pemilik gerai, Pedas-pedas si cili kering, asal-usul dari si lada, menumis cili biar lah garing, supaya sedap santapan jiwa, menumis cili sudip bergaya, marah si cili kuali ketawa, sedap-sedap sambil pelawa, pes asam pedas warisan Melaka. Itulah pantun menawarkan hidangan utama mereka iaitu Asam Pedas cita rasa Melaka.
Cita rasa asam pedas
Dengan suasana yang begitu selesa dan santai, gerai yang diberi nama, Mdmyanie Kitchen ini diusahakan oleh pasangan suami isteri yang begitu baik dan juga peramah iaitu Nor Haryanie binti Mamat selaku pemilik gerai dan suaminya, Haidee bin Hassan. Mdymyanie Kitchen beroperasi setiap hari dari pukul 6 petang sehingga awal pagi.
Ia menawarkan beberapa hidangan yang begitu menyelerakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke gerai ini. Antara hidangan yang ditawarkan seperti Asam Pedas Ampang, Singgang Nelang, Nasi Dagang Terengganu, Laksam Terengganu, Lempeng berserta dengan sambal bilis dan juga cucur crunchy iaitu campuran tepung gandum, udang geragau kering, kucai dan hirisan bawang.
Sebagaimana yang diterangkan oleh salah seorang pemiliknya, set hidangan yang berbeza ditawarkan setiap hari iaitu Nasi Dagang dan Laksam hanya akan ditawarkan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu sahaja namun menu utama iaitu Asam Pedas Ampang akan tersedia setiap hari. Pengunjung boleh memesan hidangan asam pedas ayam, daging atau lebih dikenali sebagai tetel, kepala ikan, isi ikan merah dan banyak lagi.
Apa yang menarik di Gerai Mdmyanie Kitchen ini, selain menawarkan asam pedas cita rasa Melaka, ia turut menawarkan set hidangan tradisional dari Terengganu seperti Nasi Dagang dan juga Laksam. Namun pada hari tersebut, penulis tidak berkesempatan untuk merasakan kedua-dua hidangan ini kerana set hidangan ini hanya akan tersedia setiap hari Jumaat sahaja dan Sabtu sahaja.
Keunikan yang tersendiri
Oleh itu, bagi anda yang meminati hidangan Laksam mahupun Nasi Dagang, anda tidak perlu pergi jauh hingga ke Terengganu kerana ia juga boleh didapati di Kuala Lumpur.
Penulis berkesempatan untuk merasa menu hidangan utama gerai ini iaitu asam pedas isi ikan lauk merah. Apa yang penulis ingin katakan, ia memang sedap ditambah lagi dengan rasa pedas dan masam, ia merupakan satu set hidangan yang sangat padu dan berbaloi. Anda akan dihidangkan dengan satu set asam pedas bersama dengan nasi kosong, sayur dan juga sambal.
Gerai ini turut menawarkan pes segera asam pedas cita rasa Melaka yang mudah untuk digunakan, hanya memasukkan pes dan apa sahaja jenis hidangan yang anda inginkan seperti ayam, daging atau ikan.
Apa yang pasti, hidangan asam pedasnya umphh dan boleh bertambah nasi bila memakannya, tambah enak jika dapat menghirup kuahnya ketika panas-panas.
Apa yang pasti, penulis memang berpuas hati dengan hidangan asam pedas cita rasa tradisional Melaka yang ditawarkan di gerai ini. Jika berpeluang, penulis pasti akan kembali lagi ke gerai ini untuk menikmati hidangan asam pedas dan yang lain-lain.