Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gabungan PM al-Sudani menang pilihan raya parlimen Iraq

    BAGHDAD, 13 NOV – Gabungan dipimpin Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani memenangi pilihan raya parlimen negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik media tempatan kelmarin.
     
    Menurut suruhanjaya pilihan raya, Gabungan Pembinaan dan Pembangunan yang diketuai al-Sudani memperoleh lebih 1.3 juta undi selepas lebih 99 peratus undi selesai dikira.
     
    Parti Demokratik Kurdistan pimpinan Presiden Masoud Barzani pula menerima lebih 1 juta undi, menjadikan parti itu berada di tempat kedua.
     
    Suruhanjaya berkenaan turut mengumumkan kadar keluar mengundi ialah 56.1 peratus.
     
    Sebanyak 21 juta rakyat layak mengundi bagi memilih 329 anggota parlimen, lebih dua dekad selepas pencerobohan Amerika Syarikat yang menggulingkan Saddam Hussein serta susulan bertahun-tahun konflik dengan militan Negara Islam (IS).
     
    Namun, meskipun pilihan raya dijalankan secara berkala, demokrasi Iraq kekal rapuh serta berdepan isu rasuah dan kelemahan tadbir urus, menyebabkan ramai rakyat masih ragu-ragu terhadap proses pilihan raya.
     
    Kempen pilihan raya kali ini turut dicemari insiden keganasan, termasuk pembunuhan calon Sunni, Safaa al-Mashhadani di Baghdad bulan lalu. – Bernama 
     
    Mohammed Shia al-Sudani melambai kepada penyokong sebelum menyampaikan ucapan semasa di pusat bandar Najaf pada 2 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda