ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
MENERAPKAN elemen romantik dan komedi, Papa Nak Menantu merupakan sebuah siri drama yang diadaptasi dari novel dengan judul yang sama tulisan Hasrudi Jawawi.
Siri drama arahan Murali Abdullah dan Chad Abdul Rahman itu menampilkan Hafidz Roshdi, Jaja Iliyes dan Aman Graseka sebagai pelakon utama.
Di samping itu, siri drama ini juga turut dibintangi oleh Aedy Ashraf, Afiq Anuar, Rais Hazlin, Haliza Misbun, Hanis Nabila, Rais Hazlin, Cik Manggis, Sheila Mambo, Che Puteh, Fendi Sman, Iqa Roslan, Asyraf Dasley, Hani Marhani dan Ezany Nizariff.
Ia mengisahkan mengenai Pak Saad lakonan Aman Graseka yang mahukan anak tunggalnya, Syahirah lakonan Jaja Iliyes untuk mencarikannya menantu sebelum dia mencapai usia 50 tahun dek kerana sikap anaknya itu seorang yang kasar, pemalas, keras kepala dan sukar untuk dikawal.

Dalam masa yang sama, Pak Saad mengugut Syahirah jika hasratnya tidak ditunaikan maka anaknya itu akan dikahwinkan dengan Pak Mat Tempe yang sudah berusia 55 tahun.
Ternyata ugutan itu menakutkan Syahirah. Bermula saat itu, dia tertungkus lumus mencari calon suami seperti yang dipinta oleh ayahnya.
Pencariannya itu turut dibantu oleh rakan baiknya Syakir dan Nabila. Namun dalam pencarian tersebut, pelbagai perkara yang berlaku sehingga dia bertemu dengan Azrin Aidil lakonan Hafidz Roshdi seorang jurulatih di gim yang akhirnya membuat dia benar-benar jatuh cinta.
Lalu, adakah Azrin Aidil lelaki yang dicari oleh Syahirah dan sesuai untuk menjadi menantu pilihan bapanya.Untuk mencari jawapan terhadap persoalan itu jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Papa Nak Menantu yang disiarkan setiap hari Jumaat hingga Ahad jam 6.58 petang menerusi slot Dahlia di saluran TV3.