Oleh Sim Y. H.
SERIA, 27 Feb – Dengan hasrat untuk menanamkan semangat patriotik dalam kalangan murid-murid sekolah, Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan berkenaan disertai oleh murid-murid Darjah Pra hingga Tahun 6 dan guru-guru sekolah di mana semasa sambutan itu, pelbagai kegiatan diadakan termasuk perbarisan lalu dan nyanyian lagu patriotik.
Di samping itu, Bahagian Pameran dan Perkhidmatan, Pusat Sejarah Brunei turut mengadakan Pameran Bergerak: Generasi Celik Sejarah yang turut disertai oleh Unit Takapan, Unit Salasilah, Unit Pemasaran dan Bahagian Penggambaran dan Repografer dengan diketuai Pegawai Pusat Sejarah, Hajah Aisah binti Pungut.
Acara sambutan yang dilaksanakan bersama itu mengetengahkan tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ dengan harapan untuk memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat dan penduduk negara terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Pameran bergerak itu merupakan salah satu cabang pendekatan bagi memasyarakatkan sejarah Brunei kepada para pelajar, khususnya sekolah rendah di seluruh negara sebelum mereka berpindah ke peringkat menengah.
Dengan membawa tema ‘Generasi Celik Sejarah’, pameran itu juga diisikan dengan aktiviti kuiz di mana pameran menggunakan pendekatan penyampaian maklumat akan lebih mudah difahami dan diikuti oleh para pelajar sekolah rendah kerana ia mempamerkan kreativiti atau ilustrasi pelukis dalam menggambarkan peristiwa sejarah yang berlaku.
Pameran bergerak itu diadakan di setiap daerah di sekolah-sekolah yang terpilih secara berperingkat bagi 2016-2017 yang dihasratkan untuk menjadi platform kepada para pelajar sekolah rendah untuk lebih memahami dan meminati mata pelajaran sejarah dengan lebih dekat menerusi bahan-bahan yang dipamerkan.