Oleh Lenna N.B.
MATANYA tertumpu kepada batang-batang kayu yang tersusun rapi di atas meja. Mindanya sedang bergerak berfikir sesuatu yang dapat dibinanya daripada batang-batang kayu tersebut. Tidak beberapa lama kemudian, muncul rakan seperjuangannya yang menunjukkan lakaran di atas kertas. Mereka senyum antara satu sama yang lain seakan mengerti. Dia mula mengambil gergaji untuk memotong batang-batang kayu tersebut. Sementara, rakan seperjuangnya mengambil peralatan-peralatan kelengkapan yang lainnya. Sudah tiba masanya mereka melaksanakan sebuah projek baru dengan menggabungkan seni rekabentuk dan pertukangan kayu.
“Begitulah cara kami bekerja. Saya menggunakan kebolehan lakaran untuk merekabentuk sama ada sekadar lukisan di atas kertas atau secara grafik, sementara Azhar akan merealisasikan lakaran itu. Gabungan dua tenaga ini secara langsung menghasilkan bukan sekadar perabot yang berfungsi dalam aktiviti harian kita tetapi juga sesuatu yang mempunyai nilai seni,” ucap Awang Mohd. Hafizuddin bin Abdul Haris, 24, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
Gabungan dua tenaga
Bersembunyi di sebalik nama ‘Ninetytree Design’, dua anak muda, Awang Mohd. Hafizuddin dan Awang Mohammad Azhar Hanafi bin Metassim, 24, telah mendedikasikan kemahiran mereka dalam seni pertukangan kayu.
Bermula kira-kira dua tahun lepas, mereka mula melaksanakan pelbagai projek dari bahan kayu.
Awang Mohd. Hafizuddin, adalah mahasiswa kelulusan dari sebuah universiti di United Kingdom, telah mengambil kursus inovasi produk dan mempelajari seni rekabentuk dalam penciptaan produk.


Sementara, Awang Mohammad Azhar pula telah pun bergiat aktif dalam seni pertukangan kayu sejak 10 tahun yang lepas, apabila sering melihat kerja-kerja pertukangan yang dilakukan oleh ayahnya.
Beliau menjadi jatuh cinta dengan bidang pertukangan kayu dan bercita-cita untuk menjadi tukang kayu sejak hari itu.
“Kami sebenarnya bersaudara, dan juga tinggal berjiran. Setelah saya tamat pengajian, saya terus bergabung tenaga bersama Azhar untuk menjadi rakan kerjasama sebalik inovasi penciptaan produk ini. Saya mempunyai kebolehan dari segi merekabentuk lakaran dan grafik tetapi saya tidak pakar dalam pertukangan kayu. Justeru itu, gabungan tenaga bersama dengan Azhar adalah suatu gabungan yang mampu memanfaatkan kemahiran dan kebolehan saya, setelah tamat pengajian di UK,” jelas Awang Mohd. Hafizuddin.
“Begitu juga saya mungkin berkemahiran dalam kerja-kerja bertukang kayu tetapi saya kurang berkebolehan dari segi merancang pelan atau merekabentuk. Oleh itu, saya juga menyahut idea gabungan tenaga ini. Apatah lagi, kami tinggal berdekatan di mana hampir setiap hari kami berjumpa. Kini, Awang Hafizuddin juga sedang berjinak-jinak dan belajar untuk mendalami kerja pertukangan kayu. InsyaAllah banyak perancangan kami di masa akan datang. Dengan gabungan dua tenaga ini, kami boleh menjadi kuat dan bergerak jauh dalam bidang seni pertukangan kayu tanahair,” tambah Awang Mohammad Azhar.
Sebalik gabungan dua tenaga tersebut, Media Permata cukup tertarik dengan nama mereka, ‘Ninetytree Design’, seakan ada makna istimewa sebalik nama tersebut.
Menurut Awang Mohammad Azhar, perkataan ‘Ninety’ atau dalam Bahasa Melayu, ‘sembilan puluh’ adalah lambang kepada kedua-dua mereka yang merupakan generasi 1990an, sementara ‘tree’ atau dalam bahasa Melayu ‘pokok’ adalah lambang kepada semangat kecintaan mereka terhadap kayu yang menjadi bahagian utama dalam setiap tumbuhan di muka bumi ini.




Nama ‘Ninetytree’ itu secara langsung menggambarkan identiti mereka sebagai generasi belia yang bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan idea kreatif dan inovasi terbaru dari bahan semulajadi, iaitu kayu.
Bermula dari peti jam tangan
Projek Ninetytree Design yang pertama adalah peti jam tangan iaitu sebuah kotak untuk menyusun dan menyimpan jam tangan dengan menggunakan peralatan-peralatan yang sangat terhad.
Dari peti jam tangan, mereka kemudian mencipta produk-produk yang lainnya seperti tempat menyimpan telefon, lampu USB, dan lain-lain produk minimalis yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Selepas itu, barulah mereka berkembang ke arah produk-produk perabot seperti meja, kerusi, almari, dan sebagainya.
Salah satu kepentingan dalam penciptaan produk Ninetytree Design adalah setiap fasa merekabentuk yang akan melibatkan pelanggan di mana keperluan dan kehendak mereka dapat dipenuhi.
“Kami mendapat inspirasi daripada artis-artis dan tukang kayu seluruh dunia. Internet sering menjadi sumber utama kami untuk melihat hasil tangan artis-artis tersebut. Dari mereka, kami kemudiannya menggunakan kreativiti untuk memperkembangkannya, menjadikan setiap produk yang dikeluarkan oleh Ninetytree Design, cukup eksklusif dan moden.”
Potret di atas kayu
Produk terbaru Ninetytree Design adalah potret yang dilakar di atas kayu, seakan-akan kelihatan seperti bingkai gambar sebenar.
Lakaran pula telah dihasilkan melalui proses pembakaran, sehingga warna kayu berubah menjadi kehitaman umpama lakaran pensil di atas kertas putih.
“Setakat ini, potret kayu jelas mendapat permintaan tertinggi. Mungkin mereka amat tertarik untuk melihat wajah mereka dicoretkan di atas papan kayu yang agak baru diperkenalkan di Brunei.”




Lebih 50 produk
Sejak pengasasan Ninetytree Design pada dua tahun lepas, hingga ke hari ini, kira-kira lebih daripada 50 produk telah dikeluarkan oleh Awang Mohd Hafizuddin dan Awang Mohammad Azhar.
Mereka merancang untuk mencipta produk yang melambangkan penjenamaan Ninetytree Design itu sendiri iaitu menggabungkan keindahan seni dan pertukangan yang membawa industri pertukangan tanahair ke tahap profesional.
“Kami bercita-cita ingin meninggalkan suatu kesan, sebaik sahaja orang ramai melihat produk kami, mereka tahu, itu adalah keluaran Ninetytree Design. InsyaAllah jika kami bergerak maju, kami juga akan membuka kelas pertukangan khas untuk peminat-peminat tukang kayu. Itu perancangan di masa akan datang. Mudahan kami berjaya mencapainya nanti,” ucap Awang Mohammad Azhar, sambil tersenyum kepada rakan seperjuangnya.
Menurut mereka, kerja-kerja pertukangan kayu bukan sahaja mengasah kemahiran dan mencabar kreativiti mereka, tetapi suatu terapi yang mampu untuk menghilangkan tekanan.
Melihat sendiri dan berusaha untuk mengubah suatu lakaran di atas kertas menjadi suatu produk adalah kejayaan buat mereka berdua.
“Dalam kerja-kerja pertukangan, kita perlu bertindak. Merancang tanpa tindakan tidak akan menghasilkan apa-apa. Begitu cara kami berdua bekerja. Kami sentiasa produktif dan memastikan setiap hari, pasti ada sebuah projek yang perlu kami laksanakan walaupun tanpa ada tempahan pelanggan. Salah satu projek terbesar kami, adalah membangunkan pejabat tempat kami bekerja iaitu bagaimana sebuah garaj ditukar menjadi sebuah pejabat dan stor tempat kami bertukang.”
“Bertukang kayu boleh menjadi seni yang indah jika kita memasukkan nilai-nilai estetik di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, bukan sekadar produk yang berfungsi dalam kehidupan seharian, tetapi produk yang artistik, mengindahkan atau menyerikan sesuatu ruang rumah,” ujar Awang Mohd. Hafizuddin di hujung temuramah.