TUARAN, 23 April – Gabungan tenaga melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin tempatan, pengusaha pelancongan dan masyarakat setempat akan membolehkan pelbagai pakej pelancongan dihasilkan untuk ditawarkan kepada pelancong yang berkunjung ke daerah kecil Kiulu, dekat sini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata dengan adanya kerjasama itu, keindahan alam semula jadi Kiulu, termasuk sungainya yang cantik dan belum tercemar, mampu menarik lebih banyak kunjungan pelancong.
“Kerjasama semua pihak perlu bagi merealisasikan usaha menjadikan Kiulu sebagai antara destinasi pelancongan luar bandar terkemuka di Sabah,” kata Madius, yang juga Anggota Parlimen Tuaran, ketika berucap merasmikan pelancaran Bulan Melawat Kiulu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
Antara program yang diadakan bersempena Bulan Melawat Kiulu yang bertemakan ‘Kiulu Cantik, Destinasi Menarik’ termasuk peragaan pelbagai makanan tradisi kaum Dusun di Kiulu, pameran dan penjualan hasil-hasil pertanian serta penjualan kraf tangan tempatan.
Madius berkata dengan adanya pakej pelancongan yang menarik, termasuk penyediaan kemudahan inap desa, pengunjung luar boleh tinggal lebih lama di Kiulu dan berbelanja lebih.– Bernama