Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gadecki tumpas di tangan Frech

    GUADALAJARA, 16 SEPT – Magdalena Frech merangkul gelaran WTA pertamanya kelmarin, selepas menewaskan Olivia Gadecki, pemain kelayakan dari Australia, 7-6 (7/5), 6-4 untuk menjulang trofi di Guadalajara.

    Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian besar dalam musim cemerlang pemain Poland berusia 26 tahun yang kini menduduki ranking ke-43 dunia.

    Frech sebelum ini mara ke final pertama dalam kariernya di kejohanan gelanggang tanah liat di Prague bulan lalu, diikuti dengan kejayaan suku akhir gelanggang keras pertamanya di Monterrey dan akhirnya meraih gelaran dalam kejohanan gelanggang keras peringkat 500 itu.

    Set pertama berlangsung sengit tanpa sebarang pertukaran servis. Pada kedudukan 5-5 dalam pematah seri, Gadecki melepaskan pukulan pulangan servis yang tersasar, justeru memberikan Frech mata set yang dimenanginya selepas mengambil kesempatan ke atas kesilapan Gadecki.

    Memasuki set kedua, Gadecki berjaya mematahkan servis pertama, namun Frech kembali bangkit dengan mata penentuan untuk mendahului 5-3.

    Magdalena Frech meraikan kejayaannya bersama trofi. – AFP

    Frech hampir terlepas peluang untuk merampas semula servis, tetapi berjaya memenangi pusingan terakhir dengan satu lagi pukulan cemerlang untuk mengesahkan kemenangan.

    “Saya hanya ingin katakan bahawa impian memang boleh menjadi kenyataan,” kata Frech kepada penonton ketika menerima trofi dan memakai topi besar datang bersama trofi yang dimenanginya.

    “Ia adalah gelaran WTA pertama saya dan ini benar-benar menakjubkan,” tambah Frech, yang sebelum ini hanya pernah memenangi kejohanan bertaraf rendah di Massachusetts pada tahun 2021.

    Kemenangan itu memusnahkan impian Gadecki, pemain berusia 22 tahun yang berada di kedudukan ke-152 dunia.

    Gadecki telah mara ke final pertama dalam kariernya setelah mengalahkan bekas juara Terbuka AS, Sloane Stephens dan pemain pilihan kedua Danielle Collins.

    Walaupun gagal meraih gelaran, Gadecki dijangka akan menyertai kelompok 100 pemain terbaik dunia buat kali pertama dalam ranking terbaharu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda