REVADIM, ISRAEL, 31 OGOS – Ahli arkeologi Israel hari ini mempamerkan gading gajah yang jarang ditemui berusia setengah juta tahun, daripada gajah besar yang kini pupus.
Para sarjana melihatnya sebagai bukti ritual sosial oleh manusia pada zaman dahulu.
Artifak berukuran 2.6 meter seberat kira-kira 150 kilogram ditemui oleh ahli biologi Eitan Mor di tapak penggalian berhampiran Revadim, sebuah kampung di selatan Israel.
Penggalian itu dijalankan oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel (IAA), yang berkata gading fosil itu adalah yang terbesar ditemui di Timur Dekat. Berdasarkan ukuran gadingnya, gajah itu akan berdiri sehingga lima meter tinggi, jauh lebih besar daripada gajah Afrika yang ada pada hari ini.
Pengarah penggalian, Avi Levy berkata penemuan tersebut sebagai menakjubkan dalam usaha mencari gading yang sangar terpelihara dan dilindungi. “Gajah itu adalah gajah bergading lurus, yang telah pupus dari bumi sekitar 400,000 tahun lalu,” katanya.
“Di sebelah gading itu terdapat alat batu api yang digunakan oleh manusia prasejarah untuk mencincang dan menguliti haiwan di kawasan itu, nampaknya gajah juga,” tambahnya.
Levy berkata, pasukan penggalian tidak menemui sebarang mayat manusia zaman prasejarah namun mereka berhasil menemukan budaya material yang ditinggalkan termasuk sampah yang mereka buang selepas digunakan terdiri daripada tulang haiwan dan alat batu api.
Berikutan penemuan yang dijalankan bersama ahli akademik dari Tel Aviv dan Universiti Ben-Gurion Negev, gading itu akan dipindahkan ke kemudahan IAA untuk penyelidikan lanjut. – AFP