HANOI, 29 Mac – Vietnam telah merampas lebih daripada sembilan tan gading yang disyaki diseludup dalam penghantaran balak dari Republik Congo, kata pegawai kastam hari ini, merupakan salah penemuan penyeludupan terbesar di negara itu.
Walaupun jual beli gading dalam undang-undang di komunis Vietnam adalah ditegah, tetapi memandangkan penguatkuasaan undang-undang yang lemah telah membolehkan perdagangan haram itu untuk terus berkembang dalam pasaran gelap. Kerajaan telah berikrar untuk menyekat perdagangan haram yang berkaitan dengan hidupan liar tatkala mereka sedang berhadapan dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat dan pihak berkuasa mengatakan bahawa rampasan terbaharu di pusat Kota Danang itu adalah yang terbesar dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
“Satu bungkusan besar yang mengandungi 9.1 tan yang disyaki adalah gading yang disembunyikan di dalam kayu balak telah ditemui dan dirampas,” menurut laman berita Hai Quan, menurut jurucakap rasmi Kastam Vietnam.
Gading yang disembunyikan di dalam timbunan kayu balak itu ditemui Selasa lalu di pelabuhan utama Danang di sebuah kapal dari Republik Congo di Afrika Tengah, tambahnya.
Seorang pegawai kastam memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa masih memeriksa sebelum mengeluarkan laporan akhir mengenai penemuan itu.
Imej media negara menunjukkan timbunan gading yang ditimbang oleh pegawai di gudang itu selepas penyitaan.
Gading sering kali digunakan untuk perhiasan dan ubat tradisional di Vietnam, yang juga merupakan pusat transit yang terkenal untuk penyeludupan haram hidupan liar di Asia selain China.
Kerajaan negara itu telah berjuang untuk menghapuskan perdagangan haram tatkala perniagaan itu semakin menular dan dilakukan di dalam talian.
Putera William dari Britain berada di Vietnam pada 2016 untuk menjadi tuan rumah persidangan hidupan liar di mana beliau membuat kenyataan mendesak untuk mengakhiri pemerdagangan haram untuk menyelamatkan spesies terancam. – AFP
