Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gadis bantu pelajar kurang mampu

    MUAR – Setiap Jumaat dan Sabtu, K Mahaletchmi, 20, akan duduk di ruang parkir rumahnya di Taman Perwira di sini, bagi membuka kelas tuisyen sama ada secara fizikal atau dalam talian kepada pelajarnya yang berbilang bangsa.

    Berbekalkan papan putih lusuh dan telefon pintar lama, sudah cukup untuk gadis itu menggunakan Google Meet atau secara bersemuka, mengajar subjek Sejarah termasuk Sejarah Islam kepada anak muridnya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

    Walaupun tanpa peralatan canggih dengan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan semenjak pemergian bapa beberapa tahun lepas, ia tidak menghalang Mahaletchmi untuk menawarkan khidmat itu pada kadar upah yang rendah iaitu hanya RM20 sebulan.

    Adakalanya, dengan kuota Internet terhad yang membataskannya untuk bersiaran lama di Google Meet, beliau akan menggunakan kaedah seperti perkongsian nota yang dibuat dengan Microsoft Power Point, serta merakam suara bagi menerangkan sesuatu topik sebelum dihantar ke kumpulan WhatsApp.

    Ditemui Bernama baru-baru ini, Mahaletchmi yang tinggal bersama ibu, nenek dan tiga adiknya itu berkata beliau terdorong untuk mengajar Sejarah susulan minatnya yang sangat mendalam terhadap subjek itu terutamanya Sejarah Islam.

    K. Mahaletchmi menggunakan ruang letak kereta rumahnya di Taman Perwira, bagi membuka kelas tuisyen kepada pelajarnya yang berbilang bangsa. – Bernama

    Beliau yang memperoleh A bagi mata pelajaran itu pada STPM lepas, memutuskan untuk memberi khidmat tuisyen dua kelas seminggu, atau lapan kali sebulan.

    “Pelajar saya sekarang lapan orang yang akan menduduki STPM, Melayu, Cina, India semua ada.

    Ada yang kadang-kadang tak mampu bayar jadi saya cakap pada mereka bayar RM20 pun tak apa sebab ada masanya saya perlu sediakan nota dan fotostat atau hantar ke rumah mereka, jadi ia memakan belanja.

    “Memang tak ada untung sangat pun, saya lebih kepada ingin berkongsi ilmu dan duit yang dapat sikit-sikit boleh digunakan untuk persediaan memasuki universiti kelak,” katanya yang akan melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), bulan ini.

    Ujarnya, beliau tidak sampai hati meminta bayaran yang lebih tinggi kerana menyedari kewangan keluarga pelajarnya yang tidak seberapa.

    Mengagumi ketokohan Nabi Muhammad SAW dan ahli pelayaran Arab terkemuka Ibnu Majid, Mahaletchmi bercita-cita menjadi guru Sejarah kerana baginya, sejarah amat penting sebagai iktibar dan panduan, khususnya dalam memajukan negara.

    Ibunya, V. Devani, 55, yang kini bekerja sambilan di sebuah kilang berdekatan berkata hidup mereka sekeluarga agak sukar selepas suaminya menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) selama sembilan tahun setelah mengalami kemalangan di tempat kerja, sebelum meninggal dunia pada 2019.

    Devani meluahkan rasa bangga melihat kesungguhan anaknya itu namun ada waktunya berasa sedih melihat Mahaletchmi membuat kerja berkenaan dalam keadaan kekurangan kelengkapan mengajar.

    “Saya sangat berharap Mahaletchmi akan berjaya menjadi seorang guru Sejarah yang hebat suatu hari nanti,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda