MALAM itu seperti biasa kami tutup lebih lewat dari gerai-gerai yang lain, seingat kami ketika itu hujan turun dengan lebat, menyebabkan kami terpaksa menyusun pakaian-pakaian kami dalam keadaan yang rapat antara satu sama lain, supaya dapat mengelakkan ianya jatuh dan menimpa air yang bertakung dek kerana ia mengalir dari luah membasahi kedai kami.
Ijam yang bekerja bersama kami sibuk menyusun baju bersama Pendi manakala Meor, Razak, dan Azhar sibuk membuat audit untuk jualan hari ini. Selepas menyusun pakaian yang terdapat di dalam gerai, Ijam keluar untuk mengambil motor untuk disimpan di dalam gerai, motornya yang terletak di antara 2 khemah tidak menyukarkan beliau berjalan seorang diri. Seingat kami ketika itu jam 3 pagi, hanya terdapat 2 gerai yang masih dibuka mungkin mereka juga sedang sibuk membuat kira-kira.
Ijam memasukkan kunci motor dan bersedia untuk menghidupkan enjin motornya tiba-tiba dia dikejutkan oleh satu suara yang memberi salam, tanpa menoleh belakang dia terus menjawab salam tersebut dan terus menoleh ke arah salam tersebut, dia melihat sesusuk tubuh yang sedang berdiri dalam keadaan samar-samar lampu, apabila di amati dari kedudukannya terlihat dia seorang wanita yang berbaju kurung serba kuning tanpa berfikir panjang ijam terus melangkah ke arah wanita tersebut.
“Bang, saya nak cari baju kurung untuk emak saya di kampung, boleh abang tolong pilihkan untuk saya?” “Boleh, Akak nak baju macamana boleh saya carikan untuk akak, mari ke gerai kami boleh tengok mana yang akak berkenan soal harga kita boleh bisik-bisik kak.”
Ijam terus bersetuju dan mengajak ke gerai untuk pelanggannya melihat sendiri, tetapi ditolak oleh wanita tersebut atas alasan kanvas gerai sudah ditutup dan di dalamnya terdapat banyak lelaki. Menjadikan wanita tersebut malu untuk memasuki ke gerai. “Macam ini bang, abang carikan baju size L berwarna merah, jenis kain dan design saya tak kisah asalkan ia merah dan saiz L,” jelas wanita tersebut kepada Ijam.
Ijam termenung sejenak kerana banyak persoalan yang bermain di dalam fikirannya disebabkan alasan yang diberikan oleh wanita tersebut. Ijam terus berlari anak ke arah gerai untuk mencari baju tersebut. Dia terus memasuki kedai dan berdiri di tempat letak pakaian sedang tangannya terus membelek di sebalik gantungan baju-baju kurung yang terdapat di situ.
Sambil membelek fikirannya terus melayang ke arah wanita tersebut, tiba-tiba dia ternampak sepasang baju kurung merah yang tergantung di sebalik pakaian tersebut, dia melihat terus ke arah bahagian tengkuk baju untuk memastikan saiz baju tersebut, setelah pasti dengan apa yang dilihat, terus dia mencapai plastik untuk dibungkuskan.
Ijam berlari anak ke arah tempat di mana dia menjumpai wanita tersebut, sambil berlari tangannya terus diletakkan di bahagian kepalanya bagi mengelakkan hujan menimpa ke atas kepalanya apabila sampai di tempat tersebut dia masih melihat wanita tersebut masih lagi berdiri kaku di tempat sediakala dia berjumpa, Ijam terus menghulurkan bungkusan ke arah wanita tersebut.
“Berapa bang?” soal wanita tersebut. “Errgghh,” Ijam terkelu kerana terlupa akan harga yang terletak di bahagian penyangkut baju tersebut. “Minta maaf kak, sebentar ya saya pergi tanya bos,” Ijam meminta diri untuk bertanyakan harga kepada Meor.
“Abang Meor, baju Merah yang tersangkut dekat sini berapa?” soal ijam kepada Meor. ” Baju merah yang mana ni?” balas Meor. “Baju kurung Merah yang ada dekat sini” sambil jari menunding ke arah tempat baju kurung yang diambilnya. “Seingat aku dekat situ tak ada baju kurung merah, sebab di situkan semuanya jubah mana ada baju kurung.”
Ijam tersentak seketika, dia memandang tepat ke arah bahagian letak baju yang di ambilnya tadi, dia amati betul-betul untuk memastikan dia tidak tersilap, baginya mana mungkin dia tersilap dia amat pasti di sinilah dia mengambil baju tersebut.
“Ada sesiapa ubah kedudukan tempat ini tadi ke??” soal Ijam kepada yang lain. “Mana ada orang lain kami bertiga dari tadi sibuk buat audit di sini, bukan ke kau dan Pendi yang susun pakaian tersebut,” jelas Azhar sebagai supervisor di sini. “Kau mengantuk ini jam,” Razak mencelah.
Ijam tidak mahu terus berfikir lagi terus dia keluar kembali kerana mengingatkan pelanggan yang masih menunggu beliau, apabila sampai di situ, dia terkejut kerana wanita tersebut tidak lagi kelihatan, tetapi dia melihat bungkusan plastik yang dia berikan pada wanita tersebut tergantung di brek motorsikalnya.
Ijam melihat ke dalam plastik bungkusan tersebut di dalamnya terdapat 2 keping not RM50, Ijam melihat ke setiap sudut pandangannya untuk memastikan wanita tersebut masih lagi berada di kawasan tersebut tetapi sudut pandangannya terhad dek kerana kegelapan malam.
Ijam melangkah pulang ke gerai jualan sambil menjinjit plastik yang terdapat wang di dalamnya. “Aku pelik la, perempuan itu tinggalkan duit RM100.00 dalam plastik yang aku bungkuskan baju kurungnya, yang paling pelik dia tinggalkan tergantung dekat brek motor aku,” rungut Ijam kepada kami. “Perempuan tu nak cepat, takut tinggal bas kot,” aku menambah cerita. “Allaaaah!! Aku lupa la, tadi sepatutnya aku nak bawa masuk motor tapi bila ada akak tu nak beli baju terus lupa pasal motor.”
Ijam keluar kembali lalu pergi ke arah motornya, tiba-tiba kakinya rasa lemah untuk terus melangkah dia terus terduduk di tanah matanya semakin layu, pandangannya kabur dan terus tertutup dan tersembam tubuhnya ke tanah. “Ijam!! Ijam!! Ijam!!” jeritan panggilan namanya didengari kami.
Kami terdengar suara Najib iaitu jiran gerai kami yang menjual kuih raya memanggil-manggil namanya dalam keadaan panik. Kami terus keluar berlari ke arah suara Najib, kami lihat Najib sedang cuba menyedarkan Ijam yang sedang tidak sedarkan diri. “Jib! Kenapa dengan Ijam ni?…” tanya Pendi. “Aku tak tahu la..aku nampak dia berjalan tiba-tiba jatuh,” jelas Najib. “Sudah, mari angkat dia ke dalam kedai” Meor mengarahkan kami untuk mengangkat Ijam. “Pendi kau pergi ambil air,” arah Azhar kepada Pendi.
Air mineral dihulurkan kepada Azhar, terkumat kamit mulut Azhar membacakan sesuatu pada air yang dipegangnya. Lalu direnjiskan air tersebut ke muka Ijam, tiba-tiba kelopak mata Ijam terbuka,memandang terus ke atas, Ijam menjerit secara tiba-tiba. Dia terus berdiri dan melompat ke atas meja, Ijam menjerit sambil tangannya didepakan dan dipukul-pukul di bahagian dada, lagak Ijam tak ubah seperti gorilla. Dia terus melompat ke tanah sambil melompat-lompat seperti kera. ” Woi!!! tak kan tengok je pegang la dia nanti terlepas keluar lagi susah nak tangkap,” pekik Azhar kepada kami.
Kami sedari tadi tergamam terus bertindak dek kerana suara Azhar yang memekik ibarat halilintar. Kami bersama memegang Ijam untuk mengelakkan dia keluar dari kedai. Aku memegang di bahagian kakinya, seperti yang dijangka kaki Ijam pasti hinggap di muka ku setiap kali aku cuba memautnya dengan lebih erat.
Azhar bertindak memegang pergelangan tangannya sambil membacakan sesuatu yang kami sendiri tidak memahaminya, bunyinya seperti mantera berbahasa Jawa. Tangan Azhar menepuk-nepuk tanah dan selepas itu dia menghayunkan penamparnya hinggap di muka Ijam, Ijam terus pengsan buat kali kedua. “Apa sudah jadi pada Ijam? Macam kena rasuk je aku tengok,” soal Razak kepada Azhar.
“Dia tak apa-apa cuma lemah semangat saja, kejap lagi dia sedar bagi dia minum air ini,” Azhar mengajukan tangannya ke arah botol mineral yang diberikan sebentar tadi oleh Pendi. “Aduh, sakit betul pipi aku ni. Aku kat mana ni?” soal Ijam yang baru sedar dari pengsan. “Kau dalam kedai, kau dah kenapa tiba-tiba pengsan?” soalku. “Aku tak tau la, aku tak sedar…errghh kenapa pipi aku sakit?”
Kami senyap tidak mahu menjawab, kami tidak mahu bercerita lagi padanya apa yang sudah terjadi. Ijam mengusap-usap pipinya, dalam serius kami tergelak kecil melihat telatahnya yang sedari tadi memegang pipinya, kadangkala kami rasa mahu tergelak besar tapi kami tahan kan jua. Kami biarkan keadaan beransur tenang, kami sepakat untuk terus berjaga sehingga timbul matahari.
Apabila matahari mula menampakkan diri, kami pun bertanya kepada Ijam apa yang terjadi kepadanya. “Hummm..aku tak tau masa aku berjalan pergi ke motor, aku ternampak kakak yang beli baju kurung merah tu, tapi yang peliknya dia duduk mencangkung atas motor aku sambil menjelirkan lidahnya. Lidahnya panjang sehingga ke paras dada, aku terus tak sedar lepas tu,” cerita Ijam menambah bingung kami. “Ijam kau sedar tak apa yang kau nampak? Mana mungkin ada hantu bulan puasa ini?” Aku cuba menyakinkannya. “Aku sedarlah!! Aku nampak!! Akak tu matanya merah, rambutnya mengerbang macam Hantu Kak Limah.”
“Hantu memang tak ada dalam bulan puasa ini, tapi jin tu adalah tapi tak mustahil perkara itu berlaku kerana rahsia tuhan ni terlalu luas sampai kita tak terfikir dek akal,” Azhar yang sejak tadi bertindak sebagai bomoh kini lagaknya seperti Ustaz.
“Jin itu ada kafir dan Islam, mungkin yang dibelenggu itu Jin kafir dan Jin islam pun nak berpuasa bukan kah sebaik-baik jin itu sejahat-jahat manusia so tak mustahil la Jin Islam pun boleh menganggu,” tambah Azhar lagi. “Mungkinnnnlaaaaa….. ” aku saja acuh tak acuh mendengarnya. Saja aku berbuat begitu untuk memecahkan kesunyian waktu. “Ijam!!” suara panggilan di luar kedai.
Kakak Salbiah masuk ke dalam kedai beliau terus mendapatkan Ijam yang masih lagi terbaring kepenatan. “Kamu ini kenapa? Kakak dengar dari Najib kamu kena rasuk,” kakak Salbiah bertanya, kakak Salbiah penjual tudung yang mempunyai gerai terletak bersebelahan dengan kami. Pada masa kejadian Ijam dirasuk, beliau telah menutup awal kedainya dan pulang ke rumah jadi dia tidak berkesempatan untuk menyaksikan kejadian tersebut. Kak Salbiah antara peniaga senior yang telah lama bertapak di sini setiap kali bulan puasa beliau telah berniaga di tapak ini lebih dari 5 tahun.
“Hurmmm…Kakak banyak dengar cerita pasal tempat ini, tapi kakak tak pernah la jumpa kakak anggap bulan puasa ini mana ada hantu, tapi tak sangka pula kamu yang kena. Selama ini dengar saja …kebiasaannya yang kena ni disebabkan orang yang kena tu mesti ada buat benda yang tak betul,” jelas Kak Salbiah. “Kamu ada buat benda yang tak betul tak semalam??” soal kak Salbiah
“”Eh mana ada kak…dah berminggu saya di sini, benda yang tak betul saya buat pun, saya tak puasa jela!!!..tak akan lah tak puasa pun kena, sedangkan ramai lagi tak puasa macam saya ini..contohnya Pendi!” Ijam menuding jari ke arah Pendi.
“Ehh..kenapa aku pulak, kau pun sama,” Pendi menjawab sambil tersipu-sipu malu di hadapan Kak Salbiah. “Masa sebelum kawasan tapak ini dijadikan tempat untuk berniaga, kawasan ini perkampungan merupakan kawasan setinggan Melayu. Kakak pun tak pasti tapi ini kisah mulut ke mulut yang disampaikan bila ada kes macam kamu ini,” cerita Kak Salbiah
Kak salbiah meneruskan ceritanya mengenai sejarah tempat ini, beliau bercerita sewaktu tempat ini masih lagi didiami setinggan ketika tahun 1970an telah berlaku kejadian yang menyayat hati ia mengenai seorang gadis yang dibunuh kejam oleh teman lelakinya, gadis itu dikelar dileher dan dipotong lidahnya. Kata Kal Salbiah lagi, gadis itu berasal dari utara semenanjung beliau lari ke Kuala Lumpur mengikut teman lelakinya yang berjanji untuk mengahwini gadis tersebut.
Gadis itu telah dijanjikan dengan bermacam-macam perkara oleh teman lelakinya sehinggakan gadis itu telah menderhaka kepada Ibu bapanya akibat percintaan mereka dihalang oleh keluarga gadis tersebut, keluarga gadis itu terlebih dahulu mengetahui bahawa teman lelaki gadis itu bukanlah orang yang baik tetapi disebabkan gadis itu dilamun cinta maka dia bertindak lari mengikut teman lelakinya.
Di Kuala Lumpur gadis itu telah dipaksa untuk menjadi pelacur, dia sering dipukul sekiranya tidak mengikut arahan teman lelakinya. Kemuncak dari kisah itu gadis itu dibunuh ketika cuba melarikan diri untuk pulang ke kampung halamannya. Perkara yang paling menyedihkan mayat gadis tersebut diikat dengan sepasang baju kurung yang dibeli untuk ibunya.
Kami semua istighfar panjang mendengar kisah tersebut, sama ada ia benar atau tidak kami tidak dapat memastikan kesahihannya tapi yang pastinya kami melihat Ijam mengalirkan air matanya, mungkin ada habuk yang masuk di matanya. Kejadian tersebut tidak menjejaskan perniagaan kami, kami hadapi ia dengan mengganggap ia sebahagian dari kisah perjalanan suka duka kami dalam perniagaan. Apa yang boleh kami katakan, syukur alhamdulillah kerana diberikan pengalaman dan pengetahuan dalam bulan puasa ini.