Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gadis susah tidak mampu ke UTeM dapat perhatian Sim

    BUKIT MERTAJAM – Kesusahan hidup seorang gadis hingga terpaksa menolak peluang menyambung pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Melaka mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

    Sim menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata S.Dharsini, 21, baru-baru ini telah mendapat tawaran mengikuti kursus Ijazah Kejuruteraan Perisian di UTeM tetapi disebabkan keadaan keluarga yang daif, gadis itu mengambil keputusan untuk menolaknya.

    Beliau berkata ibu Dharsini merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan beberapa tahun lepas patah kaki akibat kemalangan manakala ayahnya sudah meninggal kerana masalah jantung berair.

    “Sepatutnya ini (tawaran belajar) berita baik sebab memang impian Dharsini untuk menjadi seorang jurutera perisian tapi dia tak sanggup membebankan ibu tersayang kerana yuran universiti dan semua kos mencecah puluhan ribu, dia beritahu saya yang (dia) baru terima tawaran kerja sambilan di sebuah pasar mini.

    “Kalau rajin kerja bolehlah dapat RM1,500 sebulan dan duit itu boleh digunakan untuk jaga ibu dan sedikit demi sedikit dia akan menabung untuk pergi belajar jika keadaan lebih baik nanti. Saya berasa terharu bercampur kagum kerana di usia muda ketika ramai sedang mengejar cita-cita, Dharsini sanggup melupakan cita-cita sendiri demi ibu tersayang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

    Sim mengunjungi rumah dua beranak itu selepas mendapat laporan berhubung kisah hidup Dharsini kerana mahu membuat kejutan kepada ibu dan gadis tersebut. – GAMBAR DARI FACEBOOK STEVEN SIM
    Ibu Dharsini merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan beberapa tahun lepas patah kaki akibat kemalangan. – GAMBAR DARI FACEBOOK STEVEN SIM

    Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, berkata beliau terus ke rumah dua beranak itu selepas mendapat laporan berhubung kisah hidup Dharsini kerana mahu membuat kejutan kepada ibu dan gadis tersebut.

    Beliau berkata dalam kunjungan itu beliau turut membawa borang pendaftaran UTeM dan meminta Dharsini mengisinya namun gadis tersebut memaklumkan tiada duit untuk mendaftar walaupun hanya RM2,000 serta tidak mampu menampung kos lain untuk pergi ke sana.

    “Saya maklumkan kepada Dharsini dan ibunya yang kos untuk belajar di UTeM saya tanggung semua termasuk yuran pendaftaran dan kos perjalanan untuk pergi sana. Nak komputer riba saya bayarkan,” katanya.

    Beliau berkata jika Dharsini berpeluang mendapat pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dana yang beliau beri bolehlah digunakan untuk menampung keperluan hidup gadis itu termasuk ibunya.

    Sim juga berkata ‘anak angkatnya’ kini semakin ramai tanpa mengira agama mahupun warna kulit dan beliau akan terus berusaha memastikan mereka yang tidak berkemampuan mencapai cita-cita masing-masing melalui pendidikan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda