Assalamualaikum, nama aku Hamdan, di sini aku nak luahkan tentang masalah yang aku hadapi dengan jiran aku. Aku tidak pernah bayangkan duduk berjiran dengan orang yang penuh amarah. Dari awal pindah, aku cuba jadi jiran yang baik. Aku senyum setiap kali terserempak, hulur makanan bila lebih, malah tolong ambilkan bungkusan yang dihantar ke rumahnya. Tapi semua itu seperti tak ada nilai di matanya.
Dia suka cari salah aku. Bunyi kerusi pun dikatanya bising. Padahal anak dia pun menjerit malam-malam inda tentu masa. Tapi aku diam, aku sabar. Aku fikir mungkin dia sedang lalui sesuatu. Tapi lama-lama, aku sudah letih.
Pernah sekali aku potong rumput depan rumah dia sebab tukang rumput tak datang. Dia keluar rumah dengan marah sambil mengatakan aku cuba tunjuk baik. Hati aku hancur. Aku cuma cuba bantu.
Apa yang lebih menyakitkan, bila dia fitnah aku pada jiran lain. Katanya aku ni hipokrit. Dia tak tahu, aku menangis malam tu. Aku cuma nak hidup tenang, aman. Tak pernah pun aku balas kata-kata dia dengan makian, walau dalam hati aku menangis.
Aku bukan malaikat, tapi aku bukan musuh dia. Aku pun manusia biasa yang ada rasa.
Kadang-kadang aku tertanya, salahkah aku berbuat baik? Kenapa kebaikan dibalas benci?
Aku doa satu hari nanti, hatinya dilembutkan. Bukan untuk aku saja, tapi untuk dirinya juga. Sebab hidup dengan kebencian itu, lebih berat daripada apa yang dia lemparkan padaku.
Hamdan

NASIHAT DANG MP
Hamdan, apa yang awda lalui adalah pengalaman yang sangat berat, terutama apabila niat baik dibalas dengan kecurigaan dan permusuhan. Tinggal berdekatan dengan seseorang yang sering marah dan menyimpan prasangka memang boleh melelahkan jiwa, lebih-lebih lagi apabila kita sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadi jiran yang baik.
Tidak salah untuk berharap pada balasan yang baik, namun apabila itu tidak berlaku, ia meninggalkan luka yang dalam.
Perasaan sedih, kecewa, dan tertanya-tanya itu adalah reaksi biasa. Awda bukan lemah kerana menangis tetapi sebaliknya kuat kerana masih mampu bersabar dan tidak membalas dengan cara yang sama.
Sifat empati yang awda tunjukkan bersangka baik, membantu tanpa mengharap balasan adalah cerminan hati yang ikhlas. Namun, batas emosi juga penting.
Terus menjaga adab itu mulia, tetapi jangan abaikan hak awda untuk hidup tenang dalam rumah sendiri.
Mungkin jiranmu membawa luka atau kemarahan dari tempat lain, dan malangnya awda jadi tempat lepaskan segalanya. Itu bukanlah salah awda.
Jiran yang bersikap sedemikian boleh dijarakkan dalam hati, walau dia dekat secara fizikal.
Kurangkanlah berinteraksi dengannya sekiranya setiap kata-katanya hanya menyakitkan hati. Teruskan bermanis muka dan berhubung sekiranya perlu sahaja.
Semoga suatu hari nanti, dia akan berubah sikap dan mula menghormati awda.