Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal bayar kerja lebih masa antara kesalahan dikesan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Tujuh kesalahan berjaya dikesan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh semasa menjalankan Operasi Waspada 181/2025 di Kampung Jerudong pada 23 September lalu.

    Operasi tersebut dilaksanakan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta
    Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Pemeriksaan ke atas kegiatan kilang membuat ais telah mendapati kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 39(2) majikan gagal membayar gaji kerja lebih masa, Bab 64 berkerja pada hari rehat, Bab 65 pekerja bekerja melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas, dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti membayar gaji kerja lebih masa, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Menyediakan alat pertolongan cemas dan pekerja hendaklah diberikan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh semasa menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah premis perniagaan di Kampung Jerudong, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    Pegawai dari BPU, Jabatan Buruh semasa menjalankan Operasi Waspada 181/2025 di Kampung Jerudong. – GAMBAR SERAHAN BPU, JABATAN BURUH

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda