Thursday, May 8, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal kemuka penyata cukai pendapatan, 13 syarikat didenda

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Sebanyak 13 buah syarikat tempatan telah dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret setelah didapati bersalah kerana gagal mematuhi Seksyen 52(1), Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini, syarikat-syarikat berkenaan telah gagal mengemukakan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang ditetapkan.

    Syarikat pertama telah dikenakan denda sebanyak $6,000 bagi kegagalan mengemukakan penyata cukai bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, 2016, 2017 dan 2018. Manakala syarikat kedua dikenakan denda sebanyak $6,000 bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, 2017, 2018 dan 2019. Sementara itu, syarikat ketiga dan keempat, masing-masing dikenakan denda sebanyak $5,000 bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 hingga 2019.

    Syarikat kelima pula didenda $4,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan 2019. Syarikat keenam dan ketujuh, masing-masing dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi tahun kewangan berakhir 2017 hingga 2019. Syarikat kelapan didenda sebanyak $2,000 bagi tahun kewangan berakhir 2019 dan 2020. Syarikat kesembilan hingga ke-13, masing-masing dikenakan denda sebanyak $1,000 bagi kegagalan mengemukakan penyata cukai pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

    Bahagian Hasil ingin mengingatkan bahawa semua syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat (Penggal 39) diwajibkan untuk mengemukakan penyata cukai pendapatan selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi setiap tahun taksiran, selaras dengan peruntukan undang-undang.

    Sekiranya disabitkan bersalah, selain denda oleh mahkamah, syarikat juga diwajibkan mengemukakan penyata cukai pendapatan yang tertunggak serta membayar cukai dan penalti maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang belum dijelaskan, jika ada.

    Kementerian Kewangan dan Ekonomi menegaskan komitmennya dalam memastikan pematuhan undang-undang percukaian negara bagi menjamin kelestarian kewa-ngan negara.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda