Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal kesan dua individu hilang di laut

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) gagal menjumpai sebarang tanda-tanda mangsa semasa usaha dalam operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan dua orang individu yang dilaporkan hilang di laut semasa memancing.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, menyatakan bahawa pada 8 Oktober, seramai 19 orang pegawai dan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Belait, Balai Bomba Seria dan Team Drone Cawangan Operasi B yang diketuai oleh ASFR Hanapi bin Haji Ahmad telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui darat bagi pencarian dua orang mangsa yang hilang di laut pada 1 Oktober yang dipercayai pergi ke laut untuk memancing ikan dengan menggunakan sebuah perahu yang berukuran 21 kaki, berwarna kuning dan biru.

    Operasi pencarian berkenaan telah bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 6 petang dari kawasan pesisiran Pantai Los Tanjong Kuala Belait hingga ke pesisiran Pantai SCOT Sungai Bera, Seria.

    Operasi itu dibantu oleh lima orang sukarelawan menggunakan lima buah kenderaan all-terrain vehicle (ATV) yang diketuai oleh Awang Ahmad bin Haji Ismail. JBP menyatakan sepanjang operasi pencarian yang dijalankan, tiada tanda-tanda mangsa dijumpai.

    Orang ramai dinasihati sentiasa mengikut perkembangan dan nasihat serta amaran mengenai maklumat keadaan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam melalui laman media sosial Facebook, bruneiweather, Instagram, @bruneiweather dan aplikasi mudah alih, Brunei WX.

    Pegawai dan anggota bomba dan penyelamat serta sukarelawan menggunakan ATV dalam operasi mencari dan menyelamat dua orang mangsa yang dilaporkan hilang di laut untuk memancing ikan, pada 8 Oktober lalu. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda