Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Seorang wanita warga Malaysia yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, sekali lagi gagal untuk mendapatkan ikat jamin selepas memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan di sini.
Permohonan Kho Wan Thin untuk dilepaskan dengan jaminan ditolak Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong yang bersetuju dengan keputusan Mahkamah Majistret untuk tidak memberi ikat jamin kerana tertuduh kemungkinan akan melarikan diri.
Terdahulu, ikat jamin tertuduh ditolak oleh Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof selepas membuat pertimbangan yang tertuduh adalah warga asing yang tidak mempunyai keluarga di Brunei tambahan lagi berisiko untuk melarikan diri jika diberi ikat jamin.
Tertuduh pada 27 Mei 2019 bersama dua lagi didakwa memiliki 2.078 kilogram methamphetamine untuk tujuan mengedar.
Kes tertuduh ditangguhkan sementara menunggu laporan analisis dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik.
Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff yang membantah ikat jamin telah menekankan dalam mahkamah bahawa tertuduh berdepan tuduhan serius yang membawa kepada hukuman mati.
Tertuduh pertama kali memohon untuk ikat jamin pada Jun 2019 atas alasan menangani hal keluarga dan untuk mempersiapkan persekolahan anaknya bagi sesi tahun depan.
Peguam Roy Prabhakaran yang mewakili tertuduh menghujahkan bahawa tidak ada tarikh tertentu bila laporan analisis itu akan siap dan anak guamnya telah berada dalam tahanan reman selama tujuh bulan.
Peguam Roy turut menghujahkan bahawa anak guamnya tidak mengetahui apa-apa mengenai dadah tersebut, dan ketika diberkas sepasukan Biro Kawalan Narkotik, anak guamnya hanya berada di negara ini untuk membeli kereta terpakai.
Keberadaan tertuduh untuk membeli kereta terpakai di negara ini disokong oleh rakannya, kata Peguam Roy.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa apa yang diperkatakan oleh rakan tertuduh tidak boleh disahkan buat masa ini.
Ketika pemeriksaan dijalankan di flet yang disewa tertuduh, pegawai narkotik turut menemukan paket jernih yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah dan juga buku manual timbangan digital.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah yang laporan analisis itu dijangka siap pada April tahun depan.