BELAIT, 18 NOV – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) telah mengeluarkan satu notis amaran kepada sebuah premis perniagaan atas kegagalan mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di premis tersebut, baru-baru ini.
Kesalahan itu dikesan semasa operasi sepadu yang dijalankan oleh JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah MOFE ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Belait, dengan tumpuan di kawasan Lumut dan Sungai Liang.
Sementara itu, premis-premis perniagaan yang diperiksa selebihnya didapati patuh terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 di mana barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula, tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tanda harga adalah jelas dan teratur.
Semasa operasi itu juga, penguat kuasa Unit SDT mendapati sebanyak tujuh unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan perdagangan. Satu unit alat timbangan milik sebuah syarikat perniagaan didapati gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh tempoh kebenaran pendaftaran yang dibenarkan.
Notis Penyitaan telah dikeluarkan kepada pihak syarikat dan alat tersebut telah disita.
Dalam pada itu, pihak syarikat dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu berkenaan.