Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal sedia kontrak secara bertulis antara kesalahan dikesan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Waspada 202/2025 di Kampung Mulaut pada 18 Oktober, yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Pemeriksaan ke atas kegiatan gerai menjual nasi katok telah mendapati lapan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 10 pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 39(2) gagal membayar gaji kerja lebih masa, Bab 64 bekerja pada hari rehat, Bab 65 pekerja bekerja melebihi jam bekerja yang ditetapkan, Bab 70 majikan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja, Bab 86 menempatkan pekerja-pekerja asing di kegiatan bukan di tempat yang diisytiharkan dan dibenarkan oleh Jabatan Buruh iaitu menempatkan pekerja-pekerja asing di pondok gerai nasi katok dan dua kesalahan di bawah Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan pelayan restoran melakukan pekerjaan sebagai menjual nasi katok serta kegiatan yang dibenarkan adalah kedai makan tetapi menjalankan kegiatan gerai menjual nasi katok sahaja.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu atau mana-mana hari pada minggu tersebut, bekerja pada hari rehat hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain.

    Selain itu, pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi lapan jam sehari dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja syif, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti tahunan berbayar, tidak menempatkan pekerja-pekerja di gerai-gerai, memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh dan kegiatan yang dijalankan hendaklah selaras dengan kegiatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Atas & bawah: Pegawai BPU semasa menjalankan Operasi Waspada 202/2025 di Kampung Mulaut pada 18 Oktober. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda