Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gagal siapkan rumah, kontraktor diarah bayar balik RM50,000

    LABUAN, 4 OKT – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Labuan mengarahkan seorang kontraktor untuk membayar balik wang RM50,000 kepada seorang pelanggan selepas gagal menyiapkan pembinaan sebuah rumah mengikut tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Labuan, Junaidah Arbain berkata berdasarkan perjanjian, kontraktor tersebut dikehendaki menyiapkan pembinaan rumah itu pada 7 Oktober 2023.

    Beliau berkata kes itu telah didengar 25 Julai 2024 di TTPM Labuan yang memutuskan bahawa kontraktor tersebut mesti membayar pelanggan RM50,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tribunal.

    “Namun, kontraktor bukan sahaja terlepas tarikh akhir tetapi juga menyebabkan pelanggan menanggung kos tambahan untuk menyiapkan baki kerja pembinaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

    Junaidah berkata TTPM berfungsi sebagai saluran undang-undang alternatif untuk pengguna yang menuntut pampasan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), bagi tuntutan tidak melebihi RM50,000.

    Beliau menggesa orang ramai supaya menyedari hak mereka sebagai pengguna dan mengambil tindakan dengan memfailkan tuntutan di tribunal sekiranya barangan yang dibeli atau perkhidmatan tidak menepati piawaian dijanjikan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda