Oleh Normazlina M.D
Gambar dari Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, 23 Okt – Semasa Majlis Perarakan Kenderaan-kenderaan Berhias, Perasmian Taman Mahkota Jubli Emas dan Majlis Junjung Kasih dan Kesyukuran bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, kelmarin, masyarakat Daerah Tutong tidak ketinggalan mempamerkan kenderaan berhiasnya yang tersendiri.
Pameran kenderaan berhias bukan sahaja mempamerkan lambang atau moto sesebuah jabatan, kementerian dan agensi berkenaan bahkan ia mempunyai maknanya yang tersendiri.
Reka bentuk kenderaan berhias Daerah Tutong yang membawa tema ‘Gagasan Masyarakat Makmur Daerah Tutong’ telah direka oleh Penyelaras Bersama Kenderaan Berhias Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali.
Ketika ditemu bual, Awang Muhammad Amir menjelaskan, konsep reka bentuk yang dipamerkan mempunyai tiga elemen utama iaitu sejarah, kemajuan dan wawasan, sesuai dengan temanya ‘Gagasan Masyarakat Makmur, Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong yang Mendukung Wawasan 2035’.
Ciri-ciri sejarah digambarkan melalui reka bentuk ‘Bangkar’ iaitu sejenis pengangkutan sungai bagi membawa rombongan pengantin menyusur Sungai Tutong, yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi seperti buluh dan sebagainya.

Selain itu, kenderaan tersebut turut mempamerkan kemajuan dan kemakmuran Daerah Tutong dalam semua sektor seperti keagamaan, pendidikan, kebudayaan, perekonomian dan sebagainya sejak pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Perarakan kenderaan berhias bagi Daerah Tutong telah diketuai oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohammad Hussain dengan diiringi oleh dua orang ahli Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dan dua orang pegawai Jabatan Daerah Tutong.
Mengulas mengenai acara kelmarin, Awang Muhammad Amir berkata, acara tersebut merupakan acara penuh gilang-gemilang yang akan menjadi ristaan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, melalui acara yang penuh meriah itu, ia juga mencerminkan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak 50 tahun memerintah, mempamerkan kemakmuran, kejayaan serta kemajuan negara yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk Baginda.
Dalam kesempatan itu, beliau mewakili rakyat dan penduduk Daerah Tutong dan mewakili seluruh warga yang terlibat di dalam pembinaan kereta berhias ‘Gagasan Masyarakat Makmur Daerah Tutong’ menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan semoga Allah melanjutkan usia Baginda, dikurniakan kesihatan dan sentiasa mendapat petunjuk-Nya, kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan iman, adil lagi bijaksana.