Mengekalkan bentuk rekaan sepanjang zaman, Porsche 911 kini tampil dengan generasi ke-8 serba baharu serta ciri yang diperbaharui.
Melalui model 911 Carrera S dan Carrera 4S, Porsche 911 mempunyai saiz lebih lebar dan panjangnya ditambah ke 1,852 serta 4,519 milimeter (mm). Model baharu ini mengekalkan ciri ikonik Porsche. Pada masa sama, ia menyerlahkan elemen sebagai kereta sport pilihan sejak mula diperkenalkan pada 1963. Pasaran untuk model 911 adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik.
Ini kerana, model 911 bukan sahaja berprestasi tinggi ketika di litar malah boleh digunakan di jalan raya biasa dengan selesa, menjadikan ia pilihan buat mereka yang gemarkan pemanduan berprestasi.
Antara ciri diperkenalkan untuk semua varian 911 baharu ialah teknologi bantu pemandu seperti fungsi mod pemanduan jalan basah menggunakan pengesan ultrasonik. Fungsi itu menambah keyakinan ketika memandu dan sesuai sekali dengan keadaan cuaca di Asia Tenggara.
Tampil elegan
Model 911 dijana enjin belakang 3.0 liter pengecas turbo dengan kuasa 450 Ps pada 6,500 rpm dan tork 530 Nm pada 2,300 hingga 5,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan PDK bagi kelajuan maksimum 308 kilometer/sejam (km/j) (Carrera S) dan 306 km/j untuk varian pacuan semua roda 4S. Rekaan luarannya membabitkan bampar hadapan 45 mm lebar serta ruang kemasukan udara lebih besar, lampu hadapan LED Matrix serta lampu nyalaan siang (DRL).
Tambah elegan, ia dilengkapi pemegang pintu ‘pop-up’ automatik, rim aloi 20 inci hadapan dan 21 inci belakang, grill belakang dengan lampu brek ketiga, spoiler belakang tiga posisi Eco dan ekzos berkembar. Ruang dalamannya tampil dengan papan pemuka berorientasikan rekaan horizontal, pakej stereng ‘sport chrono’, konsol tengah baharu, skrin sesentuh 10.9 inci berdefinisi tinggi untuk sistem hiburan dan maklumat serta Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM). – Agensi

