SEJAK sekian lama hutan-hutan di Indonesia khususnya di Sumatera sering menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut segala khazanah di dalamnya.
Sama ada untuk aktiviti pemburuan haiwan-haiwan liar dilindungi atau pembalakan haram, ia merupakan kegiatan licik dan sukar dibanteras berikutan saiz hutan belantara yang luas di negara berkenaan.
Hakikat itu, mendorong pihak berkuasa Indonesia mencari alternatif lain bagi membendung perbuatan tersebut termasuk menggunakan khidmat gajah bagi menjalankan rondaan.
Ditemani oleh renjer hutan, pasukan itu akan melakukan rondaan di sepanjang sungai sehingga jauh ke dalam hutan yang menjadi habitat ratusan haiwan dilindungi seperti harimau dan orang utan.
Penerokaan hutan tropika yang lazim bagi tujuan pertanian dan perladangan itu telah memusnahkan habitat dan biodiversiti flora dan fauna selain menambah pembebasan gas rumah hijau.


Sebahagian besar aktiviti pembalakan di negara itu dilakukan secara haram oleh individu atau syarikat tidak berdaftar sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan.
Di samping itu, pemburuan haiwan liar dan dilindungi juga kerap berlaku. Gajah telah dibunuh untuk gadingnya, begitu juga dengan harimau yang bernilai tinggi dalam perubatan tradisional.
Pakar
Bagaimanapun, rondaan menggunakan gajah di daerah Truman, wilayah Aceh, kepulauan Sumatera itu telah membantu mengurangkan aktiviti tersebut.
Ia menggunakan kepakaran penjaga gajah liar untuk mengendalikan haiwan itu di samping menjalankan rondaan berkala bagi membanteras aktiviti pemburuan dan pembalakan haram daripada terus berleluasa.
Salah seorang daripadanya ialah Hendra Masrijal, 33, yang berhenti kerja sebagai pembekal makanan untuk menjadi renjer hutan.
Dia merupakan antara 25 penjaga gajah liar yang terlibat dalam skim tersebut termasuk dalam kalangan bekas anggota pejuang kemerdekaan Aceh yang telah meletak senjata se-lepas mencapai pendamaian dengan kerajaan Indonesia lebih sedekad lalu.
Saya sangat sedih apabila melihat gambar-gambar haiwan liar seperti gajah dibunuh oleh pemburu haram.”
“Habitat haiwan-haiwan ini juga diceroboh oleh pembalak haram,” kata Hendra.
Rondaan di dalam hutan lazimnya berjalan antara dua hingga tujuh hari dengan seseorang renjer hutan lazimnya menghabiskan masa 15 hingga 20 hari sebulan untuk menyelesaikan ekspedisi mereka.
Inisiatif itu merangkumi lebih 27,000 hektar yang dikenali sebagai Koridor Hidupan Liar Truman merangkumi dua kawasan hutan simpan yang dilindungi.



Di samping membanteras aktiviti pemburuan dan pembalakan haram, program itu juga turut menyasarkan penduduk setempat.
Selain memberi kesedaran kepada mereka kepentingan memelihara hidupan liar dan habitat mereka, penduduk juga diajar untuk mengubah cara hidup daripada pertanian tradisional kepada industri pelancongan yang menjanjikan kehidupan dan masa depan yang lebih baik.
Sokongan penuh
Tisna Nando, jurucakap United States Agency for International Development (USAID) yang bertanggungjawab menaja projek itu sejak beberapa tahun lalu berkata, program itu mendapat sokongan penuh penduduk setempat yang tertarik dengan pelbagai insentif ditawarkan.
Katanya, menerusi penubuhan pasukan itu juga dapat mengubah persepsi penduduk terhadap gajah yang selama ini dianggap haiwan pengacau dan perosak yang sering memusnahkan tanaman dan mengganggu ketenteraman mereka.
“Kes-kes serangan gajah liar sememangnya kerap berlaku sebelum ini namun sebelum menyalahkan haiwan semata-mata itu kita kena kaji mengapa ia berlaku.
“Penerokaan kawasan hutan yang dilakukan secara haram misalnya telah memusnahkan habitat dan sumber makanan yang ada sehingga haiwan itu terpaksa masuk ke kawasan penempatan manusia bagi tujuan tersebut.
“Selain itu, ia juga sering menjadi mangsa pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya sekali gus menimbulkan konflik di antara gajah dah manusia,” katanya. – Agensi