Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajah Borneo perlu pemuliharaan betul, agresif

    KOTA KINABALU, 4 DIS – Gajah Borneo di negeri ini memerlukan kaedah pemuliharaan yang betul dan agresif untuk terus kekal sebagai komponen berdaya hidup dalam mega fauna Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew.

    Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata ini kerana terdapat peningkatan ancaman kehilangan dan pemecahan habitat, selain pertambahan populasi manusia yang memerlukan lebih banyak tanah untuk kegunaan pertanian dan pembinaan rumah.

    Beliau berkata konflik manusia-hidupan liar di Sabah berada pada tahap kritikal dengan lebih 140 ekor gajah dibunuh dalam tempoh kurang 10 tahun dan kebanyakannya terjadi di kawasan konflik berkenaan dengan lebih separuh kematian berpunca daripada tembakan atau disyaki keracunan manakala selebihnya disebabkan kematian semula jadi.

    “Pemburuan haram gajah juga semakin meningkat dengan beberapa penangkapan dibuat terhadap penyeludup yang cuba menyeludup gading gajah merentasi sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam teks ucapan pada majlis makan malam Mesyuarat Kumpulan Pakar Gajah Asia ke-10 di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assafal P. Alian. Di Sabah, Liew berkata gajah Borneo kini dilindungi sepenuhnya di bawah Bahagian 1 Jadual 1, Seksyen 25(1) Haiwan Dilindungi Sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997 negeri ini dan sebarang kesalahan berkaitan spesies ini memperuntukkan denda sehingga RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun.

    Beliau berkata sejak 2016, Sabah telah mengukuhkan undang-undang hidupan liar melalui EPHL 1997 dan kementeriannya bersedia meminda dan mengetatkan hukuman di bawah Enakmen itu sekiranya memburu atau membunuh gajah pygmy atau hidupan liar dilindungi yang lain tidak dapat dihentikan.

    Liew berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah juga telah menyiapkan draf akhir Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah 2020-2030 yang akan dibentangkan kepada Kabinet Sabah awal tahun hadapan dan sekiranya diluluskan Kabinet, kerajaan negeri menerusi kementeriannya akan melaksanakan semua langkah yang digariskan dalam pelan tindakan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda