Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajah bunting mati keracunan

    BANDA ACEH, Indonesia, 27 Dis – Seekor gajah yang bunting ditemui mati di sebuah ladang minyak kelapa sawit di Pulau Sumatera, Indonesia, yang mana pihak berkuasa mengesyaki akibat keracunan yang disengaja, menurut seorang pegawai hari ini.

    Bangkai haiwan itu ditemui di kampung terpencil Seuneubok Bayu di Aceh pada 22 Disember lalu, selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada penduduk setempat, ketua pusat pemuliharaan Aceh, Sapto Aji Prabowo memberitahu AFP.

    “Gajah berusia 25 tahun itu telah mati kira-kira 10 hari lalu apabila kami sampai di sana,” katanya lagi.

    “Dari bedah siasat, kami melihat organ penghadamannya bertukar warna hitam yang menurut doktor adalah petunjuk biasa keracunan.”

    Gajah Sumatera itu mengandungkan janin jantan berusia 13 bulan dan sekurang-kurangnya enam bulan lagi akan melahirkan. Penduduk setempat memberitahu pihak berkuasa bahawa beberapa hari sebelum bangkai itu ditemui petani merungut seekor gajah telah memakan baja mereka.

    Gajah Sumatera adalah spesis terancam dan adalah spesis dilindungi, namun pembasmian hutan berleluasa untuk perladangan telah mengurangkan habitat semula jadi mereka dan mengakibatkan mereka berkonflik dengan manusia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda