Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajah di Thailand lahirkan anak kembar berlainan jantina

    AYUTTHAYA, 11 JUN – Seekor gajah di Thailand telah melahirkan sepasang anak kembar yang jarang berlaku dalam proses kelahiran dramatik yang menyebabkan penjaganya cedera selepas dia cuba menyelamatkan salah seekor anak gajah yang baharu lahir.

    Gajah Asia berusia 36 tahun bernama Jamjuree melahirkan seekor anak jantan seberat 80 kilogram di Istana Gajah Ayutthaya dan Kraal Diraja di utara Bangkok pada malam Jumaat.
    Tetapi apabila seekor anak betina seberat 60 kilogram muncul 18 minit kemudian, ibu gajah itu menjadi panik dan menyerang anak yang baharu dilahirkan.

    “Kami terdengar seseorang menjerit ada anak gajah lain yang dilahirkan!” kata doktor haiwan, Lardthongtare Meepan.

    Seorang penjaga gajah, juga dikenali sebagai mahout, melangkah masuk untuk menghalang ibu gajah daripada menyerang anaknya yang baharu lahir dan sebagai balasan dia terkena pukulan di pergelangan kakinya.

    “Ibu gajah itu menyerang anaknya kerana haiwan itu tidak pernah mempunyai anak kembar sebelum ini, ia sangat jarang berlaku,” kata Michelle Reedy, pengarah organisasi Elephant Stay, yang membenarkan pelancong yang melawat untuk menunggang, memberi makan dan memandikan gajah-gajah di pusat Royal Kraal.

    Kembar gajah yang baharu lahir, seekor betina (kiri) dan seekor jantan (tengah), berdiri di sebelah ibu mereka Jamjuree di Istana Gajah Ayutthaya dan Kraal Diraja di Ayutthaya pada 10 Jun. – AFP

    “Mahout yang merupakan penjaga gajah melompat ke sana dan cuba membawa anak gajah itu supaya ibu gajah itu tidak membunuhnya,” kata Reedy kepada AFP.

    Jamjuree kini telah menerima anaknya yang masih kecil sehingga sebuah platform khas telah dibina untuk membantu mereka menjangkau untuk menyusu.

    Mereka juga diberikan susu tambahan dengan menggunakan picagari, kata Larthongtare.
    Gajah kembar adalah hal yang jarang berlaku, hanya terbentuk sekitar satu peratus kelahiran, menurut organisasi penyelidikan Save the Elephants dan kelahiran kembar jantan dan betina adalah lebih tidak biasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda