Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Gajah kerdil Borneo disenarai spesies terancam

    BANGKOK, 28 JUN – Penilaian pertama terhadap gajah kerdil Borneo oleh pihak berkuasa pemuliharaan global kelmarin menyimpulkan bahawa haiwan itu terancam, dengan hanya dianggarkan 1,000 yang tinggal di hutan.

    Penemuan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang terkenal dengan ‘Senarai Merah’ hidupan liar terancam, adalah kali pertama gajah itu dinilai sebagai subspesies berbeza.

    “Populasi haiwan itu telah berkurangan sejak 75 tahun lalu, pada mulanya disebabkan oleh pembalakan di hutan Borneo yang memusnahkan majoriti habitat gajah Borneo,” kata IUCN dalam kemas kini Senarai Merah kelmarin.

    “Apabila populasi manusia berkembang pesat di Sabah, Malaysia, gajah-gajah semakin kerap memasuki kawasan yang dikuasai manusia untuk mencari makanan, di mana haiwan itu boleh merosakkan tanaman dan berdepan dengan pembunuhan sebagai tindak balas,” tambah kumpulan itu.

    Ia memberikan amaran bahawa pemusnahan habitat yang berterusan, terutamanya yang berkaitan dengan penanaman kelapa sawit serta ladang kayu dan perlombongan, terus mengancam spesies itu.

    Mereka juga menyatakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dianggap sebagai ancaman terbesar kepada masa depan spesies gajah Asia terkecil itu.

    Berdiri antara lapan hingga 10 kaki tinggi, bukti genetik menunjukkan bahawa gajah Borneo berpisah daripada sepupunya di tanah besar Asia dan Sumatera kira-kira 300,000 tahun lalu, menurut kumpulan pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF).

    Kadang-kadang dipanggil gajah kerdil Borneo, spesies ini mempunyai telinga yang lebih besar berdasarkan saiz, ekor yang lebih panjang dan gading yang lebih lurus berbanding gajah Asia yang lain. – AFP

    Terdapat kira-kira 1,000 gajah Borneo yang tinggal di alam liar, menurut IUCN. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...