SAN DIEGO, 15 APRIL – Ketika gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda, sekumpulan gajah di Zoo Taman Safari, San Diego, telah bertindak pantas bagi melindungi anak-anak gajah daripada sebarang bahaya.
Kelmarin, satu rakaman video di kawasan kandang gajah di Zoo Safari Park, San Diego, telah merakamkan detik-detik cemas ketika lima ekor gajah Afrika itu dilihat berdiri di bawah cahaya matahari, sebelum berlaku gegaran gempa bumi. Kamera yang merakam haiwan tersebut mula bergoyang dan haiwan-haiwan itu kelihatan berlari dalam arah yang berbeza.
Tiga gajah dewasa, Ndlula, Umngani dan Khosi segera membentuk bulatan bagi mengelilingi serta melindungi dua anak gajah berusia tujuh tahun, Zuli dan Mkhaya, daripada sebarang kemungkinan bahaya.
Gajah-gajah itu kekal berhimpun selama beberapa minit dan gajah dewasa terus mengawal dalam posisi bersedia. Telinga mereka kelihatan terbuka luas dan berkibar, meskipun gegaran telah pun reda.
Gegaran berkenaan dirasai sejauh 193 kilometer dari San Diego hingga ke Los Angeles, menyebabkan batu-batu besar bergolek ke atas jalan luar bandar di daerah San Diego serta barangan jatuh berselerak dari rak di beberapa premis perniagaan di bandar kecil pergunungan Julian yang terletak berhampiran pusat gempa.
Gajah merupakan haiwan yang amat bijak dan sosial. Haiwan ini juga mempunyai keupayaan untuk merasakan getaran bunyi melalui kaki dan sering berkumpul dalam satu ‘bulatan berjaga-jaga’ jika mengesan sebarang ancaman atau bahaya. – AP
