JAKARTA, INDONESIA, 27 MEI – Seekor gajah Sumatera yang bunting ditemui mati dan disyaki keracunan berhampiran ladang kelapa sawit di wilayah Riau, Indonesia di Pulau Sumatera, menurut pegawai hari ini.
Gajah Sumatera merupakan spesies terancam tahap kritikal dan kurang daripada 700 ekor masih hidup di pulau tersebut. Haiwan berkenaan spesies dilindungi di bawah undang-undang Indonesia bagi pemuliharaan sumber asli biologi dan ekosistemnya.
Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat punca kematian gajah tersebut, yang ditemui dalam rondaan bersama oleh kumpulan pemuliharaan setempat pada Rabu. Tetapi mereka percaya kematian haiwan berkenaan adalah akibat diracun.
“Ini kerana terdapat tanda-tanda perubahan bentuk organ dalaman, seperti paru-paru, yang kelihatan seperti mengalami keradangan, darahnya yang hitam dan pekat,” kata Zulhusni Syukri, pengarah program Yayasan Rimba Satwa, salah sebuah kumpulan yang menemui bangkai gajah itu.
Darah dapat dilihat keluar daripada mulut dan duburnya, menurut Fifin Arfiana Jogasara, pemangku ketua Pemuliharaan Sumber Asli Riau, sebuah lagi kumpulan peronda yang menyertai rondaan.
Pihak berkuasa turut menemui buah nenas dalam perut gajah itu, dan tidak ada pohon nenas yang tumbuh di kawasan berhampiran, menyebabkan lebih ramai yang mengesyaki ia telah diracun, kata Syukri. – AFP
