LONDON, 25 MAC – Ahli Parlimen Britain akan menerima kenaikan gaji sebanyak 2.8 peratus kepada £93,904 (AS$121,349) pada tahun kewangan baharu yang bermula 1 April, menurut pengesahan badan pemantau perbelanjaan Parlimen.
Pihak Berkuasa Piawaian Parlimen Bebas (IPSA) berkata keputusan itu selaras dengan cadangan gaji kerajaan yang lebih luas untuk pekerja sektor awam.
Di bawah Akta Piawaian Parlimen, IPSA dikehendaki mengkaji semula gaji Ahli Parlimen selewat-lewatnya awal Julai dalam tahun pertama Parlimen baharu.
Badan pemantau itu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut mengenai penetapan gaji Ahli Parlimen untuk baki penggal Parlimen semasa dalam beberapa bulan akan datang.
Kenaikan itu menjadikan gaji asas Ahli Parlimen meningkat kepada £93,904 berbanding £91,346 sebelum ini dan sedikit di bawah kadar inflasi semasa sebanyak tiga peratus. – Bernama
