KUCHING, 23 DIS – Sambutan Hari Krismas tahun ini lebih bermakna buat penjawat awam di Sarawak apabila gaji pertama selepas pelarasan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan ini.
Rata-rata penjawat awam di Sarawak menyifatkan gaji pertama SSPA itu serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji diberikan kerajaan negeri yang turut dibayar bulan ini sebagai hadiah istimewa sempena Krismas.
Bagi Gabriel Rommy, 26, yang bertugas di Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), peningkatan gaji menerusi SSPA digunakannya untuk persiapan menyambut Hari Krismas tahun ini.
“Dengan kenaikan gaji ini saya dapat membeli barang dekorasi Krismas untuk menghias rumah selain memulihkan semangat perayaan buat keluarga saya tahun ini kerana pada tahun lepas kami tidak menyambut Krismas kerana baru kehilangan ayah saya.
“Tambahan pula, kami baru sahaja selesai melakukan pengubahsuaian rumah, jadi kenaikan gaji ini sangat membantu untuk melengkapkan keperluan seperti hiasan tambahan, menjadikan suasana lebih meriah dan bermakna untuk kami sekeluarga,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Grace John Lee, 32, yang bertugas di Jabatan Premier Sarawak berkata kenaikan gaji SSPA sememangnya memberi sedikit kelegaan terutamanya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. – Bernama