Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajus Kemboja tingkatkan bekalan global

    PHNOM PENH, 20 OKT – Peningkatan pengeluaran gajus di Kemboja dijangka meningkatkan bekalan global kepada 5.5 juta tan metrik tahun ini, sekali gus meletakkan negara itu sebaris dengan pengeluar utama dunia seperti Ivory Coast, India dan Vietnam.

    Pengeluar tradisional optimis terhadap hasil tuaian yang lumayan bagi komoditi itu, yang semakin mendapat tempat di pasaran komoditi antarabangsa berikutan lonjakan permintaan daripada aktiviti hiliran.

    “(Pengeluaran) gajus mentah adalah pada paras 5.5 juta tan metrik. Antara tumpuan utama ialah Kemboja dan Tanzania apabila pengeluaran menunjukkan kadar pertumbuhan yang baik.

    “Saya tidak fikir akan ada sebarang kesan akibat hujan lebat. Pokok gajus agak kuat dan mampu menahan perubahan cuaca,” kata Presiden Persatuan Gajus Seluruh India yang berpangkalan di Mangalore, Bola Rahul Kamath kepada Bernama.

    Ivory Coast menguasai pengeluaran gajus dunia dengan lebih sejuta tan metrik, diikuti India di tempat kedua dengan 800,000 tan metrik manakala Vietnam mengeksport hampir 700,000 tan metrik setiap tahun.

    Menurut Persatuan Gajus Kemboja, petani tempatan menghasilkan kira-kira 940,000 tan metrik gajus mentah dari Januari hingga Ogos tahun ini, menjana pendapatan eksport sebanyak RM6 bilion (AS$1.4 bilion).

    Keadaan iklim tani yang pelbagai di Kemboja menjadikannya kondusif untuk penanaman gajus. Petani menanam varieti M23 bersaiz besar yang tahan terhadap keadaan cuaca serta perosak dan penyakit, di kawasan seluas kira-kira 300,000 hektar.

    Rasa berkrim, rangup dan cita rasa semula jadinya yang unik menjadikan gajus Kemboja popular dalam kalangan pengimport.

    Pakar industri menjangkakan Kemboja berupaya menghasilkan 1.2 juta tan metrik menjelang 2030, dengan keluasan tanaman berkembang kepada kira-kira 1.4 juta hektar.

    “Gajus kami popular di seluruh dunia kerana rasa, tekstur dan manfaat kesihatannya. Vietnam memerlukan varieti M23 untuk dicampur dengan gajus Afrika bagi menambah nilai.

    “Kira-kira 95 peratus gajus Kemboja dieksport ke Vietnam, dan kini kami berusaha mempelbagaikan pasaran ke negara seperti China dan India,” kata Presiden persatuan itu, Silot Uon, kepada Bernama. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda