Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan di bulan Ramadan untuk membantu pelajar dan kakitangannya yang kurang bernasib baik, Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah mengadakan Projek Kasih 2021 yang menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 22 orang warga kampus berkenaan, hari ini.
Dianjurkan oleh Unit Pengajian Teras (CSU), JBC IBTE, projek berkenaan bermatlamat untuk membantu warga kampus terutamanya ibu tunggal, anak-anak yatim dan pelajar yang memerlukan bantuan.
Projek itu juga bertujuan untuk menggalakkan aktiviti amal dalam kalangan warga kampus dalam masa yang sama, mengetengahkan keperluan untuk memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Projek telah bermula pada 19 hingga 22 April lalu yang menyaksikan warga kampus
menghulurkan sumbangan berupa pelbagai keperluan makanan asas serta wang tunai.
Projek berakhir dengan penyampaian sumbangan kepada para penerima, hari ini, yang disempurnakan oleh Pemangku Pengetua Kampus Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab.
Majlis juga diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin yang merupakan aktiviti mingguan bagi pelajar kampus berkenaan serta bacaan Tasbih Kaffarah yang mengakhiri majlis berkenaan.
