Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galak belia jadi sukarelawan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan NDMC

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Seramai 541 orang pelatih Program Khidmat Bakti
    Negara (PKBN) Pengambilan ke-11 telah menyertai Latihan Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana Asas (DPC) yang berlangsung di Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, Temburong bermula 23 Januari lalu hingga kelmarin.

    Ia diadakan sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan belia menjadi sukarelawan untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dalam pengurusan bencana.

    Latihan Asas DPC berkenaan bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada para belia khususnya pelatih PKBN yang berpotensi menjadi sukarelawan untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara sama ada daripada segi tenaga dan buah fikiran dalam pengurusan bencana.

    Program dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi pertama lebih menjurus kepada berasaskan bilik darjah yang dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan
    (NDMC), Jabatan Perkhidmatan Teknikal dan Jabatan Saliran dan Pembentungan, Jabatan Kerja Raya serta Urus setia Perubahan Iklim, Jabatan Perdana Menteri, yang antara lain memberikan para pelatih pengetahuan mengenai pengurusan bencana di Negara Brunei Darussalam, risiko serta impak bencana di negara ini.

    Sementara itu, bagi sesi kedua, para pelatih telah didedahkan kepada pelbagai latihan simulasi dalam menangani kecemasan yang diadakan di perkarangan kem latihan berkenaan termasuk untuk membuat penilaian keperluan bagi mangsa-mangsa bencana, menangani kecemasan memadam kebakaran dan kecemasan menyelamatkan nyawa.

    Turut terlibat dalam latihan berkenaan adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, beberapa orang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam serta ahli-ahli DPC yang telah diiktiraf selaku fasilitator.

    Semasa majlis penutup program berkenaan, sijil-sijil penyertaan telah disampaikan
    oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Dayang Nor Hamidah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang pelatih PKBN yang menyertai Latihan Asas DPC.
    Antara aktiviti yang dijalankan oleh para pelatih semasa latihan tersebut.
    Pelatih-pelatih PKBN Pengambilan Ke-11 yang menyertai Latihan Asas DPC yang diadakan selama 6 hari di Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda