Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galak belia sertai sektor pertanian

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seramai 19 peserta terdiri daripada kalangan belia sektor swasta, akademik dan individu persendirian telah diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-10 yang berlangsung di Pusat Perkhidmatan dan Latihan Lepas Tuai, Pejabat Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tungku, kelmarin.

    Program kendalian Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) itu diadakan selama 19 hari dari 23 Jun hingga 5 Julai, di mana ia merupakan inisiatif kementerian dalam menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian khususnya dalam pertanian berasaskan teknologi tinggi.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Awang Abuzar bin Haji Mohd Tahir.

    Turut hadir ialah ketua-ketua bahagian serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    Awang Abuzar dalam ucapannya menyatakan harapan agar para peserta program mendapat inspirasi melalui pendedahan perusahaan pertanian kerana ia adalah satu perniagaan menguntungkan serta memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk melabur dalam sektor pertanian secara persendirian atau tanaman berkontrak, terutamanya bidang industri tanaman menggunakan sistem berteknologi tinggi yang boleh meningkatkan hasil pertanian yang berkualiti dan selamat serta memberikan pulangan yang agak lumayan.

    Awang Abuzar bergambar ramai bersama para peserta Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-10. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Awang Abuzar menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Para peserta juga dapat menimba ilmu pengetahuan melalui peluang-peluang pelaburan di bidang industri tanaman, pengurusan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan melalui penggunaan sistem hidroponik dan fertigasi, latihan pengurusan pemasaran dan kewangan serta perusahaan pertanian menggunakan teknologi tinggi,” ujarnya.

    Usaha itu, ulasnya, akan dapat mendukung usaha meningkatkan hasil pertanian tempatan dan juga pasaran eksport serta dapat mencapai matlamat program bagi melahirkan para belia usahawan pertanian yang penuh komitmen, progresif, inovatif, kreatif dan produktif bagi sama-sama menyumbang ke arah peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam sektor pertanian pada masa yang terdekat.

    Sepanjang program tersebut, para peserta telah mengikuti sesi taklimat dan penempatan di ladang-ladang terpilih di mana antara topik yang dikongsi termasuk peluang pelaburan dalam pertanian, teknologi hidroponik dan fertigasi, kawalan penyakit dan musuh perosak tanaman, proses permohonan tapak pertanian serta pendaftaran perniagaan.

    Turut terlibat ialah agensi-agensi seperti Bahagian Biosekuriti dan Akses Pasaran (BIOSMA), KSSUP, Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama­ nama Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Persatuan Peladang Pertanian Brunei (PPPB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Usahawan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), KN Nursery dan Akmal Asmaan Agriculture Farm.

    Antara lokasi ladang penempatan ialah Hua Ho Agricultural Farm, Harvest Moon Trading, Akmal Asmaan Agriculture Farm, Gropoint Sdn Bhd, Food United dan Natural Healing Enterprise.

    Melalui pendekatan berkenaan, para peserta didedahkan kepada sistem pengeluaran moden dan peluang perniagaan berkaitan pertanian, termasuk akses pasaran domestik dan eksport.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda