Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galak bentuk perniagaan baharu sejajar inovasi, teknologi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kerajaan Singapura, kelmarin, telah mengadakan Sesi Khas Menteri-menteri Buruh ASEAN dan Persidangan Pekerjaan Masa Hadapan yang berlangsung di Swissotel The Stamford.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong telah menghadiri sesi khas berkenaan bagi Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sesi berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Tenaga Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo manakala itu ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Pengerusi Menteri-menteri Buruh ASEAN iaitu Menteri Sumber-sumber Manusia Malaysia, Tuan Yang Terutama M Kulasegaran.

    Majlis perasmian itu dihadiri oleh menteri-menteri buruh dan timbalan-timbalan menteri negara-negara anggota ASEAN dan Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder dan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    Kenyataan menyatakan, pada mesyuarat itu, menteri-menteri buruh ASEAN termasuk Yang Berhormat Pehin memuji usaha Suruhanjaya Global mengenai Masa Depan Pekerjaan, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan laporan mereka bertajuk ‘Pekerjaan bagi Masa Hadapan yang Lebih Cerah’.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar ketika berucap pada Sesi Khas Menteri-menteri Buruh ASEAN dan Persidangan Pekerjaan Masa Hadapan yang berlangsung di Swissotel The Stamford.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya mengenang semula cadangan-cadangan Laporan Suruhanjaya Global mengenai Masa Depan Pekerjaan.

    “Laporan Suruhanjaya Global berkenaan menyeru, salah satu daripada 10 saranan pentingnya, pengiktirafan rasmi kelayakan universal bagi pembelajaran sepanjang hayat dan penubuhan sistem yang berkesan yang mengiktiraf dan diselaraskan dengan kuasa transformatif teknologi-teknologi kontemporari baharu mengenai dunia pekerjaan,” katanya.

    Brunei Darussalam, tambahnya, secara aktif membentuk dan membina laluan bagi mereka yang mencari pekerjaan yang lebih memuaskan dan produktif, untuk mempelbagaikan kemahiran mereka untuk menyesuaikan ekonomi digital yang kontemporari dan terus berkembang.

    “Pada masa yang sama, kami memupuk semangat keusahawanan rakyat kami dan menggalakkan pembentukan perniagaan-perniagaan baharu yang menggunakan teknologi-teknologi dan inovasi baharu yang melangkaui kebiasaan,” tambah beliau.

    Pada sesi khas itu, para menteri telah menerima pakai dan menandatangani Kenyataan Menteri-menteri Buruh ASEAN mengenai Pekerjaan Masa Hadapan dan menggalakkan tindakan-tindakan diambil oleh negara-negara Anggota ASEAN untuk para pekerja bagi pekerjaan masa depan meningkatkan kemahiran dan belajar kemahiran baharu.

    Di samping itu, menggalakkan perniagaan-perniagaan memanfaatkan teknologi-teknologi baharu, berkongsi amalan-amalan terbaik, mempromosikan inisiatif-inisiatif perlindungan sosial yang mapan dari segi fiskal dan meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN termasuk ILO.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda