Friday, June 28, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Galak ejen pelancongan promosi pakej menarik

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seramai 18 ejen pelancongan telah menyertai Bengkel Pembangunan Pakej yang berlangsung di Bilik Mesyuarat VIP, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) pada 19 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, bengkel sehari itu bermatlamat untuk melengkapkan para ejen pelancongan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan yang menarik bagi memenuhi permintaan pelbagai pelanggan serta mengetengahkan kekayaan tawaran pelancongan Brunei.

    Sesi bengkel berkenaan telah dikendalikan oleh beberapa orang pegawai jabatan itu yang menekankan pentingnya penggunaan peralatan digital bagi promosi dan pemasaran.
    Program itu merangkumi siri taklimat, perbincangan dan latihan bagi memupuk persekitaran pembelajaran kolaboratif.

    Bengkel itu menyediakan para peserta untuk mempromosikan pakej-pakej mereka secara efektif pada ekspo-ekspo antarabangsa yang akan datang sepanjang 2024 hingga 2025, termasuk semasa Singapore NATAS Holiday, Ekspo Pelancongan Jepun 2024 dan acara-acara berpotensi yang lain.

    Dengan mempelbagaikan tawaran-tawaran mereka untuk menarik pelbagai segmen pasaran, jabatan pada masa yang sama berharap ejen-ejen pelancongan juga boleh menghasilkan pakej yang lebih menarik dan baik bagi pengalaman Ramadan yang unik di Negara Brunei Darussalam.

    Acara berkenaan berakhir dengan penyampaian sijil kepada semua agensi yang mengambil bahagian sebagai pengiktirafan atas komitmen dan penglibatan mereka di sepanjang bengkel itu.

    Gambar ramai para peserta bengkel sehari berkenaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat VIP, KSSUP. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S, AS dan Jepun mula latihan ketenteraan

    SEOUL, 27 JUN - Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun memulakan latihan ketenteraan baharu hari ini, kata Ketua Turus Tentera Seoul, ketika sekutu-sekutu...