Oleh Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dalam memberi galakan kepada murid-murid untuk sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar, beberapa buah sekolah agama di Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan majlis khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6.
Sekolah Ugama Lambak Kanan telah meraikan seramai 68 orang murid, terdiri daripada 36 orang murid lelaki dan 32 orang murid perempuan, yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran pada majlis khatam yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Urus Setia Pendidikan Ugama Wajib, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Suherdey bin Serbini.
Sekolah Ugama Mabohai juga telah meraikan seramai 39 orang murid Darjah 6, terdiri daripada 21 murid lelaki dan 18 murid perempuan, yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Unit Audit Dalaman, JPI, Hajah Dayang Noorsiah binti Haji Mohamad Noor.
Manakala itu, seramai 33 orang murid, terdiri daripada 15 murid lelaki dan 18 murid perempuan, telah diraikan di Sekolah Ugama Anggerek Desa, Berakas.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IIA, JPI, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohammad.
Majlis khatam Al-Quran berkenaan diadakan bagi menyahut hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik AlQuran, serta beriman, beramal dan bertaqwa, di samping menggalakkan amalan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar.
Selain itu, ia juga untuk memastikan murid-murid dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran 30 juzuk sebelum menamatkan persekolahan agama Darjah 6.