Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galak orang ramai nilai status kesihatan sendiri

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Penyakit kardiovaskular merupakan penyebab kematian utama di Negara Brunei Darussalam pada 2023 di mana sebanyak 520 kematian telah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dengan 31 peratus adalah kematian pramatang.

    Di samping itu, lebih 13,000 kes yang didiagnosis pada 2023 adalah berkaitan dengan kardiovaskular.

    Peningkatan jumlah mereka yang menghidap penyakit kardiovaskular dari tahun ke tahun amat membimbangkan dengan kumpulan umur semakin muda yang menghidap penyakit berkenaan, memberikan tekanan beban kepada ekonomi dan sosial masyarakat.

    Pada 2023, usia median pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular adalah 62, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam ke-11 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Dalam hubungan itu, beliau menekankan adalah amat penting untuk mengenal pasti pelbagai faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular termasuk faktor tingkah laku seperti penggunaan tembakau, amalan pemakanan tidak sihat melibatkan pemakanan garam dan lemak berlebihan serta gaya hidup sedentari.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam ke-11. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Faktor-faktor lain seperti obesiti, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes semuanya boleh dicegah atau diurus jika awal dikesan, jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato menyatakan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan terus meletakkan penekanan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit jantung sebagai bidang tumpuan utama dalam strategi kebangsaan kita.

    Inisiatif kita yang sedang berjalan, jelasnya, bermatlamat untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat, mempromosikan pengesanan awal dan memastikan akses kepada rawatan perubatan awal.

    Dedikasi dan kolaborasi antara profesional penjagaan kesihatan, penyelidik dan penggubal dasar adalah kunci kita mencapai matlamat jangka panjang dalam mengurangkan kesan penyakit kardiovaskular kepada penduduk negara.

    Pencegahan dan pengawalan NCD seperti penyakit kardiovaskular memerlukan langkah-langkah berintegrasi dari semua peringkat khususnya aspek dasar, sistem kesihatan, tindakan komuniti di Brunei dan tingkah laku setiap individu.

    Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Brunei Darussalam bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (BruMAP-NCD) 2021-2025, jelasnya, bermatlamat untuk mengurangkan risiko kematian antara usia 30 dan 69 akibat penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan pernafasan akut sebanyak 10 peratus menjelang 2025.

    Satu lagi inisiatif yang dilaksanakan jelas adalah penilaian risiko dan indeks kesihatan, yang menggalakkan orang ramai untuk menilai status kesihatan mereka dan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi pengesanan awal faktor-faktor risiko dan NCD termasuk keadaan kardiovaskular.

    Pengesanan awal melalui pemeriksaan kesihatan memudahkan rawatan tepat pada masanya dan membantu mencegah komplikasi berkaitan.

    Beliau menjelaskan dengan memasukkan maklumat dan menjalani penilaian ringkas, para pengguna boleh menerima anggaran profil risiko kardiovaskular mereka dan mengambil langkah-langkah proaktif ke arah pencegahan.

    Pengesanan awal faktor risiko kardiovaskular membolehkan intervensi tepat pada masanya seperti perubahan gaya hidup dan rawatan perubatan untuk membendung perkembangan penyakit kardiovaskular.

    Di samping itu, ciri pemeriksaan risiko BruHealth juga memudahkan pengumpulan data di skala yang lebih besar di mana data berkenaan boleh menyumbang kepada inisiatif penyelidikan berharga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman penyakit kardiovaskular kita, memperhalusi model penilaian risiko dan membangunkan strategi pencegahan yang lebih efektif.

    Beliau berkata menerusi usaha kolaboratif pengguna dan profesional penjagaan kesihatan, kita boleh membuat langkah signifikan dalam membanteras penyakit kardiovaskular pada skala lebih meluas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda