Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Dengan tujuan memberikan pendedahan kepada penuntut tentang pelbagai pilihan aktiviti yang ditawarkan bagi menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti di luar bilik darjah, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (MSOAS) telah mengadakan taklimat mengenai aktiviti kokurikulum (CCA) bagi penuntut Tahun 7 hingga Tahun 11, baru-baru ini.
Dalam taklimat berkenaan, tiga kategori utama CCA diperkenalkan, iaitu Sukan dan Jasmani merangkumi pelbagai jenis sukan bertujuan membentuk kesihatan fizikal dan mental; Ahli dan Kebudayaan memfokuskan kepada seni kreatif, muzik dan pertukangan yang dapat mencungkil bakat seni penuntut; dan Kelab Kerohanian dan Badan Beruniform menyediakan platform untuk pengukuhan nilai kerohanian, kemahiran kepimpinan dan semangat patriotisme.
Semasa berucap pada taklimat berkenaan, Guru Kanan CCA MSOAS, Awang Mohd Khairul Azmi bin Sawal menekankan pentingnya penglibatan aktif penuntut dalam aktiviti kokurikulum untuk membina keperibadian holistik.
“CCA bukan sahaja melengkapkan pembelajaran akademik tetapi juga membantu membentuk generasi muda yang berketerampilan, berdaya saing dan berintegriti tinggi,” ujarnya.
Di samping itu, MSOAS turut menjemput Hapkido Brunei Darussalam untuk membuat demonstrasi seni mempertahankan diri. Demonstrasi itu memukau para penuntut dengan aksi-aksi menarik yang menonjolkan disiplin, kekuatan fizikal dan keyakinan diri.
Sesi taklimat berkenaan telah mendapat sambutan positif daripada penuntut, menunjukkan minat untuk menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan. Dengan adanya program tersebut, MSOAS terus komited mendidik dan membimbing penuntut dalam pelbagai aspek kehidupan.