Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Sekumpulan pelajar program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (DPuLI) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), kelmarin, telah mengelolakan program riadah yang melibatkan seramai 30 orang penuntut asrama Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Program Ujian Kecergasan itu berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan dan diadakan sebagai usaha untuk menggalakkan semangat kompetitif kesihatan, di samping meningkatkan kesedaran pengamalan gaya hidup sihat.
Turut hadir semasa program berkenaan ialah Pensyarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Mohammad Amirol bin Abdul Rahim selaku tetamu jemputan.
Ujian Kecergasan berkenaan menampilkan lima aktiviti fizikal ringan dan dilaksanakan mengikut susunan, yang melibatkan larian 100 meter, tekan tubi, bangkit tubi, plank dan jumping jack.
Sebelum aktiviti dimulakan, indeks jisim badan (BMI) pelajar juga diukur dan poin diberikan berdasarkan ukuran BMI setiap pelajar.

Pengerusi bersama program itu, Dayang Nurul Aqilah binti Zakaria dalam ucapannya menyatakan rasa teruja mengendali program seumpamanya kerana di samping menggalakkan pelajar untuk mengamalkan aktiviti berorientasi kesihatan, ia juga berupaya memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk turut sama bergiat aktif mempraktikkan pola hidup cergas.
Penilaian pula akan mencabar minda pelajar sekali gus menggalakkan diri mereka dan pelajar lain untuk sama-sama memvariasikan kegiatan fizikal yang mereka
amalkan.
Pengendali dan ahli jawatankuasa acara Ujian Kecergasan itu merupakan ahli-ahli Kumpulan 3 Halaqah kursus tawaran Pusat Ilmu Teras, IT51204 Pengurusan Kokurikulum, program DPuLI KUPU SB yang dimandatkan untuk mengelola sebuah program kokurikulum.
Pengelolaan acara berkenaan adalah tugasan wajib yang bermatlamat untuk mengembangkan potensi akademik dan kemahiran insaniah, di samping memupuk semangat kejayaan, kerjasama dan dinamik, serta mempersiapkan para pelajar program DPuLI dengan tatacara pengurusan acara-acara rasmi dalam kerjaya perguruan nanti.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah galakan kepada pelajar-pelajar yang mengumpul mata tertinggi.

