Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Dari segi perubahan iklim ini, ia akan menubuhkan lagi pekerjaan yang baharu terutamanya terhadap ekonomi hijau dan sebagainya.
Pastinya kita memerlukan golongan jurutera baru yang pakar dalam pembangunan dan penggunaan teknologi tenaga yang boleh diperbaharui.
Maka kepakaran tenaga yang boleh diperbaharui dan sebagainya merupakan satu peluang pekerjaan baharu yang sememangnya suatu perkara yang kita mesti membuat persediaan untuk menyambut peluang-peluang ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan mengenai perkara tersebut bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin berhubung impak kepada pekerjaan kalau kita terus menggalakkan tenaga yang boleh diperbaharui dan usaha-usaha untuk mengatasi isu perubahan iklim ini dan juga impak kepada ekonomi, pada pada hari ke-12 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Jelas Yang Berhormat Dato, dari segi ekonomi, ini satu isu yang sebenarnya akan memanfaatkan kita dan kalau kita lihat sahaja pada masa ini, jana kuasa kita menggunakan gas, kalau sekiranya kita dapat menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui, gas kita dapat dijual atau dimajukan industri hiliran dan sebagainya.
Maka, ini sememangnya membawa nilai positif kepada ekonomi negara kita.
Jika penggunaan tenaga suria dan sebagainya meningkat mungkin harganya pada masa depan akan menurun, tambahnya.
Beliau seterusnya berkata, kita dapat mengambil peluang ini jika harga menurun, kita dapat menggunakan tenaga suria dan sebagainya dengan harga yang rendah, sekali gus dapat menjimatkan gas kita untuk memajukan industri hiliran dan sebagainya.
Yang Berhormat Dato turut berkata ini adalah satu hal yang positif dan kita mesti juga memainkan peranan dengan negara-negara lain untuk sama-sama mengatasi isu perubahan iklim ini, di samping itu, kita juga akan dapat manfaat dari segi pekerjaan dan ekonomi.










