Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galak warga emas aktif, muda di hati

    Oleh Salawati Haji Yahya

    ‘Tua-tua Kelapa, Makin Tua Makin Berminyak’ itulah peribahasa yang sesuai buat ahli-ahli Pertubuhan WAR-GAMAS yang masih aktif mengisi masa terluang dalam meniti usia senja ini.

    Penyertaan warga emas dalam pertubuhan itu bukan hanya dapat menggerakkan minda dan tubuh agar kekal aktif, tetapi juga memberi peluang untuk mereka ‘muda di hati’ dengan mencuba kegiatan baharu yang memerlukan pergerakan fizikal di samping meluaskan rangkaian sosial.

    Selain itu, ia juga peluang untuk mereka bertemu rakan-rakan seangkatan usia yang lain dan berkongsi minat yang sama bagi meningkatkan kesejahteraan dengan mengubah pandangan terhadap warga emas yang dianggap sebagai beban, kepada warga emas aktif dan produktif.

    Penglibatan warga emas dalam mempelbagaikan aktiviti dalam sesebuah pertubuhan, membolehkan mereka terus menyumbang pengetahuan dan kepakaran serta kekal berdaya tahan menerusi landskap pembelajaran, kesukarelawanan dan pekerjaan dipertingkatkan.

    Melihat kepada kegigihan golongan ini, penulis berpeluang menemu bual beberapa ahli Pertubuhan WARGAMAS yang aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan hinggalah ke perekonomian malah mahir dalam bidang kraf tangan dan juga pertukangan tangan.

    Pengiran Haji Hamdan yang bergiat aktif dalam Pertubuhan WARGAMAS.
    Antara produk yang dihasilkan.
    Hajah Azimah Abdullah Chee bersama beg-beg bakul yang dihasilkannya.

    Salah seorang ahli yang mahir dalam kraf tangan, Pengiran Haji Hamdan bin Pengiran Haji Abdul Rahman semasa ditemu bual menyatakan beliau mengambil peluang menyumbangkan kemahiran yang dimiliki untuk membantu pertubuhan itu dalam urusan bahagian logistik seperti membuat nama-nama, label dan lainnya.

    Beliau yang memang mempunyai latar belakang dalam pertukangan tangan dan pernah mengikuti pengajian di Singapura, tidak pernah mensia-siakan kemahiran yang ada malah terus memperbaiki dan memantapkan lagi hasil-hasil kraf tangan beliau.

    Manakala Hajah Azimah Abdullah Chee, yang kreatif menghasilkan kraf tangan seperti beg bakul juga berjaya memperkenalkan produk beg bakul beliau ke luar negara.

    Nampaknya penglibatan beliau dalam persatuan itu tidak menjadi sia-sia malah dapat mengongsikan kemahiran yang ada dengan memberi galakan kepada ahli-ahli yang lain, selain memajukan pertubuhan itu dengan membuat aktiviti bersama untuk menambah ekonomi masing-masing.

    Katanya lagi, “Apa yang perlu ada dalam diri adalah mesti ada motivasi dan selalu memperbaiki diri sendiri untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.”

    Rata-rata ahli pertubuhannya mempunyai kemahiran dan hobi yang hampir serupa dalam pembuatan kraf tangan seperti gelang daripada manik, seni mengait dan pembuatan dastar.

    Kebanyakan produk yang dihasilkan oleh ahli pertubuhan itu sering diketengahkan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan itu sendiri.

    Melihat warga emas yang terlibat dalam pertubuhan itu, membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang bagi seseorang untuk kekal sihat dari segi fizikal dan minda.

    Sehubungan dengan itu, masyarakat juga berperanan untuk menyokong warga emas meniti usia senja dalam sekitaran dibina yang inklusif sambil terus terhubung dengan orang tersayang dan masyarakat, menerusi wadah digital dan rangkaian sokongan yang mempunyai semangat bersama.

    Di sini diakhiri dengan beberapa rangkap pantun mengenai warga emas yang dipetik dari laman sosial Cikgu Karthi dari Perak, Malaysia.

    Anak dara ke Tanjung Batu,
    Janji bertemu di Teluk Bayu;
    Walau usia dimamah waktu,
    Cekal hatimu tak pernah layu.

    Bukan gua sebarang gua,
    Gua penuh pusaka bonda;
    Bukan tua sebarang tua,
    Tua penuh ilmu di dada.

    Pergi ke Nilai membeli jamu,
    Jamu rasa dari tenggara;
    Tidak ternilai jasa baktimu,
    Kepada bangsa juga negara.

    Betik muda buat halwa,
    Kelapa muda santan dirasa;
    Biar muda di dalam jiwa,
    Dari tua sebelum masa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda